KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad mengakui kehilangan tonggak utama, Sergio Aguero yang dilayangkan kad merah telah merencatkan momentum selepas pasukannya tewas 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final Piala Malaysia sebentar tadi.
Menurut Fandi, pujian wajar diberikan kepada semua pemain yang bekerja keras sepanjang perlawanan untuk memberi tentangan luar biasa kepada skuad Harimau Selatan.
“Itulah tujuan kita datang ke sini (untuk bagi saingan) dan pemain juga beri dua ratus peratus di atas padang.
“Kita bermain dengan baik tetapi kad merah pada babak pertama lemahkan peluang kita (untuk terus bersaing) dan pasukan terpaksa bertahan,” katanya selepas tamat perlawanan.
Pada aksi tersebut, pengadil perlawanan membuat keputusan mengejut untuk melayangkan dua kad kuning dalam tempoh singkat buat Aguero sehingga diarahkan keluar padang pada minit ke-35 ketika Sri Pahang mendahului 1-0 hasil jaringan T. Saravanan.
JDT bagaimanapun bangkit untuk menang dengan meledak gol hasil penyudah Berson da Silva dan Arif Aiman Hanapi. – KOSMO! ONLINE