SUNGAI PETANI – Kedah berhasrat untuk mencontohi langkah Terengganu yang akan menguatkuasakan larangan penjualan produk rokok elektronik atau vape di semua premis seluruh negeri itu mulai 1 Ogos ini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau akan membangkitkan perkara itu pada Mesyuarat Exco kerajaan negeri minggu depan.
“Kalau boleh kita nak contohi langkah Terengganu. Saya diberitahu bahawa vape adalah berbahaya, malah lebih berbahaya daripada rokok kerana penggunaan bahan kimia.
“Terdapat juga kebimbangan terhadap penyalahgunaan dadah mushroom dalam kalangan remaja, jadi kita akan cuba bincangkan perkara ini dan buat yang terbaik demi anak-anak kita,” katanya selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Akademi Darul Ilmi (ADI) di Dewan Utama ADI, di sini hari ini.
Terdahulu, pada Jumaat, Kerajaan Negeri Terengganu mengumumkan larangan penjualan produk vape di seluruh negeri itu di semua premis bermula 1 Ogos.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negerinya, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, keputusan itu adalah untuk mengekang penjualan dan penggunaan produk vape yang mungkin memberi kesan kesihatan negatif kepada generasi muda. – KOSMO! ONLINE