KUCHING – Polis berjaya menangkap enam lelaki yang disyaki terlibat dalam kes tembak mati seorang lelaki pada awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Mohd. Irwan Hafiz Md Radzi berkata kesemua suspek berusia antara 26 hingga 45 tahun itu ditangkap di lokasi yang berbeza antara pukul 4 hingga 5.30 petang semalam.
“Turut dirampas sebuah kereta dan sepucuk pistol beserta 10 butir peluru,” katanya dalam kenyataan.
Difahamkan, seorang daripada suspek merupakan anggota polis trafik yang bertugas di Bukit Aman dan pistol tersebut adalah miliknya.
Menjelas lanjut, beliau berkata siasatan awal mendapati kumpulan tersebut terlibat dalam kes seorang mangsa mati ditembak di dalam kenderaan yang berlaku kira-kira pukul 5.30 pagi semalam.
Justeru, Mohd. Irwan berkata kes berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kesemua suspek akan direman hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu, dua lelaki datang ke Balai Polis Batu Kawa kira-kira pukul 5.30 pagi semalam dengan membawa mayat rakan mereka yang berusia 34 tahun akibat terkena tembakan di kepala.
Kejadian berlaku ketika mereka yang menaiki sebuah kereta sedang dalam perjalanan di Jalan Stephen Yong di sini, dengan mangsa merupakan penumpang. – KOSMO! ONLINE