PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada 394,880 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang menerima keputusan mereka, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyifatkan pencapaian tahun ini sebagai amat membanggakan dengan peningkatan jumlah pelajar cemerlang serta pencapaian Gred Purata Kebangsaan (GPK) terbaik sejak tahun 2013.
“Tahniah kepada semua calon SPM 2024. Gunakan peluang yang terbentang untuk memilih laluan yang selari dengan minat dan potensi anda. Saya percaya andalah generasi pelakar perubahan, yang akan membina Malaysia yang lebih maju, berkemahiran tinggi dan berdaya saing di pentas dunia.
“Keputusan ini mencerminkan kecemerlangan dan dedikasi para pelajar yang telah berusaha untuk mencapai keputusan yang cemerlang tanpa berputus asa beserta pengorbanan dan sokongan berterusan dari ibu bapa serta para pendidik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebagai Menteri yang memayungi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Ahmad Zahid turut melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian 7,650 calon SPM daripada 55 MRSM seluruh negara.
Katanya, gred purata (GP) keseluruhan MRSM meningkat kepada 1.892 berbanding 2.392 pada tahun lalu.
“MRSM Beseri dan MRSM Balik Pulau berjaya menunjukkan lonjakan GP tertinggi, masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 1.408 dan 1.171,” katanya.
Dalam masa sama, Ahmad Zahid turut menekankan bahawa walau apa jua keputusan yang diperoleh, ia adalah titik tolak kepada fasa kehidupan seterusnya sama ada meneruskan pengajian, memasuki alam pekerjaan atau menyertai bidang teknikal dan kemahiran.
Sebagai Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara beliau memfokuskan pentingnya TVET sebagai pilihan arus perdana dalam sistem pendidikan negara.
Menurutnya, TVET bukan sahaja memperkasa modal insan, malah membentuk asas kukuh kepada ekonomi berpendapatan tinggi.
“Kini, terdapat 12 Kementerian yang menawarkan program TVET melibatkan 1,398 institusi TVET dengan jumlah pelajar menyertai bidang TVET pada tahun lepas juga meningkat kepada lebih 436,285 peserta berbanding 407,038 pada 2023.
“Kadar kebolehpasaran graduan TVET mencecah 94.5 peratus termasuk graduan daripada institusi TVET di bawah Mara pula pada kadar 98.7 peratus,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE