fbpx

Juneyao Airlines terbang terus ke Kuala Lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bermula di Pulau Pinang, syarikat penerbangan dari China, Juneyao Airlines akan terbang terus ke Kuala Lumpur.

GEORGE TOWN – Syarikat penerbangan dari China, Juneyao Airlines, secara rasmi akan melancarkan laluan penerbangan terus antara Shanghai dan Kuala Lumpur bermula 28 Jun ini, sekali gus memperkukuh jaringan udara antara China dan Malaysia.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, laluan itu melengkapkan laluan pelancongan dua hala antara Shanghai ke Pulau Pinang dan Shanghai ke Kuala Lumpur.

”Laluan ini menjadi satu rangkaian pelancongan strategik yang memberi fleksibiliti maksimum kepada pelancong dari China.

”Dengan sambungan ini, pelancong boleh memilih untuk tiba di Shanghai dan mendarat di Pulau Pinang, kemudian ke Kuala Lumpur sebelum pulang ke Shanghai atau sebaliknya. Ini membentuk satu corak perjalanan yang komprehensif dan efisien,” katanya di sini hari ini.

Menurut Hon Wai, pelancaran laluan baharu itu juga menyokong pembangunan sistem hab berkembar antara Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, yang memperkukuh kedudukan kedua-dua bandar itu sebagai pintu masuk pelancongan utama ke Malaysia.

Katanya, tarikan budaya dan sejarah Pulau Pinang melengkapi pengalaman bandar metropolitan Kuala Lumpur, menjadikan pakej lawatan ke Malaysia lebih lengkap dan menarik buat pelancong China.

”Penerbangan terus ini berpotensi menggandakan jumlah pelancong dari China, selain mengukuhkan peranan Pulau Pinang sebagai hab serantau dan mempererat kerjasama antara negeri,” katanya.

Tambahnya, penerbangan dari Shanghai ke Kuala Lumpur (HO1353) akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong pada pukul 5.50 petang (waktu Shanghai) dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 11.45 malam (waktu Malaysia).

”Ia akan beroperasi empat kali seminggu iaitu pada Isnin, Selasa, Khamis dan Sabtu.

”Bagi penerbangan pulang, HO1354, dari Kuala Lumpur ke Shanghai akan bermula pada 29 Jun, berlepas pukul 12.45 pagi dan tiba pukul 6.15 pagi, juga beroperasi empat kali seminggu,” katanya.

Tambahnya, Juneyao Airlines merupakan antara tiga syarikat penerbangan yang memilih Pulau Pinang sebagai destinasi pertama mereka di Malaysia, selain Flydubai dan Hong Kong Express.

”Setakat Februari 2025, Pulau Pinang menerima 14 penerbangan terus seminggu dari Shanghai, dengan peningkatan ketara ketibaan pelancong China yang kini menjadi pasaran sumber kedua terbesar negeri ini.

”Rangkaian luas Juneyao Airlines turut membolehkan sambungan mudah ke destinasi popular lain seperti Jepun, Korea Selatan dan bandar utama Eropah serta meningkatkan kemudahan perjalanan bagi rakyat Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI