CANBERRA – Sekurang-kurangnya dua orang cedera apabila helikopter yang dinaiki mereka terhempas sejurus berlepas di Australia, lapor akhbar The Independent semalam.
Kejadian berlaku sekitar pukul 2.30 petang (waktu tempatan) di Lapangan Terbang Moorabbin, bandar Melbourne.
Helikopter R44 itu berada pada ketinggian 228.6 meter di udara sebelum terhempas berhampiran landasan lapangan terbang.
Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan kedua-dua penumpang dari bangkai helikopter tersebut.
“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan ringan, dengan salah seorang daripada mereka dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” kata pihak berkuasa.
Data dari laman penjejakan penerbangan, FlightRadar24 menunjukkan pesawat itu berada di udara dalam masa singkat sebelum terhempas.
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) sedang mengumpul bukti untuk menentukan sama ada siasatan berskala penuh perlu dilaksanakan. – AGENSI