SEREMBAN – Pemandu kereta jenis Honda Jazz yang terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Jalan Persiaran Senawang 1 dekat persimpangan lampu isyarat Taman Matahari Heights pada 6 Mac lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Remaja lelaki berusia 17 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dihadapinya iaitu memandu secara berbahaya sehingga mengorbankan tiga nyawa dan memandu tanpa lesen.
Pengakuan itu dibuat di hadapan Majistret Nurul Azuin Mohd. Talhah.
Mengikut pertuduhan, remaja itu dituduh memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, Muhammad Aswari Lotpi, 16, dan Aisar Azim Abdullah, 17.
Bagi pertuduhan pertama, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan.
Untuk pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26(1) APJ 1987 kerana memandu tanpa lesen. Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM300 hingga RM2,000 atau penjara tidak lebih tiga bulan atau kedua-duanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,300 dengan seorang penjamin dan melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Mei depan. – KOSMO! ONLINE