fbpx

Taylor’s College perkenal program Diploma dalam Reka Bentuk Digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. WONG (dua dari kiri), Josephine (tiga dari kiri) dan Hijjaz Aziz (kiri) bersama rakan strategik WBL, Ethan Teng daripada Crave FX (tiga dari kanan), Jason Low daripada Virtualtech Frontier (dua dari kanan) dan Nina Hayani daripada iTrainKids (kanan) pada majlis pelancaran DIDD di Subang Jaya.

SUBANG JAYA – Taylor’s College komited untuk terus memacu inovasi pendidikan menerusi pelancaran program Diploma dalam Reka Bentuk Digital (DIDD) seiring dengan usaha tranformasi digital negara.

Pengarah Kampus Taylor’s College, Josephine Tan berkata, inisiatif itu bertujuan untuk merapatkan jurang kemahiran kritikal dalam industri digital dan kreatif yang kini semakin berkembang pesat.

“Kurikulum di Taylor’s College yang bersifat progresif dengan pendekatan praktikal dirangka untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja bersedia untuk memasuki pasaran kerja.

“Malah, turut memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan Malaysia untuk menjadi sebuah hab digital global,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran DIDD baru-baru ini.

Josephine Tan

Mengulas lanjut, Josephine berkata, bagi tujuan itu, Taylor’s College menyediakan kemudahan teknologi moden seperti Taylor’s Virtual Online Future Technology & Extended Reality (Makmal VORTEX XR) dan Studio Pemodelan 3D (tiga dimensi) di Taylor’s Lakeside Campus bagi memberi pengalaman pembelajaran yang terkini.

“Teknologi ini membolehkan pelajar berinovasi dan menggabungkan objek dunia nyata ke dalam persekitaran maya melalui aplikasi dan peranti Realiti Lanjutan (XR) serta mewujudkan Realiti Maya (VR) 3D.

“Sumber dan akses itu dapat memberikan pengalaman praktikal dan kepakaran teknikal yang diperlukan dalam industri media digital terkini,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pengajian Diploma dan Pendidikan Profesio­nal Taylor’s College, Ts. Dr. Wong Chee Kong berkata, pengajian DIDD yang merangkumi enam semester bagi tempoh dua tahun itu turut menawarkan kaedah Pem­belajaran Berasaskan Kerja (Work-Based Learning, atau WBL) selama 20 minggu.

Katanya, melalui modul WBL, pelajar berpeluang bekerjasama dengan ahli akademik dan pemain industri dalam pendekatan pem­belajaran secara langsung untuk memperkukuh kemampuan teknikal dan kreatif mereka.

“Antara rakan industri yang terlibat ialah CraveFX, FusionWorks, iTrainKids, Geek Fam, Cause Effect Consultants dan Virtualtech Frontier.

“Kerjasama ini dapat memberikan kelebihan yang signifikan kepada pelajar melalui bimbingan secara berterusan daripada pakar industri sekali gus mempertingkatkan kebolehpasaran mereka selepas tamat pengajian,” jelasnya.

Salah seorang tetamu mencuba aplikasi VR-Verse Zen Garden Drawing untuk menghasilkan sebuah lakaran fesyen unik.

Dalam pada itu, Dr. Wong berkata, Taylor’s College menyasarkan seramai 15 pelajar bagi kohort pertama DIDD yang mana pendaftaran program itu baru dibuka bermula April lalu.

“Kohort pertama sangat penting bagi menentukan hala tuju program ini dan ia adalah jumlah yang tepat untuk memastikan pelajar menerima pengalaman pembelajaran yang terbaik.

“Dengan jumlah ini, kita juga dapat memberikan perhatian sepenuhnya kepada pelajar memandang­kan tujuan program ini diperkenal adalah untuk melahirkan golongan yang profesional,” jelasnya.

Pada majlis yang sama, Pengarah Program DIDD, Hijjaz Hamidi Abdul Aziz yang merupakan pereka multimedia berkongsi gambaran tentang hasil pembelajaran serta kemahiran kreatif dan teknikal yang bakal diperolehi melalui program tersebut melalui satu sesi pengalaman imersif.

Sesi itu turut memberi peluang kepada pengamal media untuk mencuba aplikasi VR-Verse Zen Garden Drawing yang dikendali oleh Makmal VORTEX XR, serta teknologi perisian Style 3D™.

Difahamkan, siswazah program DIDD berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya di Taylor’s University dalam Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk (Kepujian) dalam Media Kreatif dan tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Ruang Interaktif (Kepujian).

Untuk rekod, siswazah diploma di Taylor’s College berjaya merekodkan pencapaian 100 peratus dalam Kebolehpasaran Graduan berdasarkan data dikeluarkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dari tahun 2021 hingga 2023.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai program DIDD boleh melayari laman web Taylor’s College.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI