SHAH ALAM – Penduduk Taman Sri Muda, di sini menggesa kerajaan negeri segera menyelesaikan masalah banjir yang sering melanda kawasan tersebut sejak banjir besar pada tahun 2021.
Wakil penduduk Taman Sri Muda, K. Umagandhan berkata, rata-rata penduduk di kawasan itu buntu apabila masalah banjir masih belum selesai sehingga menyebabkan mereka perlu menanggung kerugian apabila harta benda rosak terkena banjir.
Umagandhan berkata, seluruh penduduk turut menggesa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari agar turun padang dan jelaskan kepada penduduk penyelesaian kepada masalah banjir itu.
“Baru-baru ini penduduk Sri Muda lagi sekali berdepan banjir kilat pada 11 April lalu akibat hujan lebat.
“Kami terima maklumat bahawa salah satu punca banjir adalah kegagalan paip air untuk berfungsi kerana tiada bekalan elektrik. Perkara itu turut diakui Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Kemuning, S. Preakas,” katanya ketika ditemui pemberita semasa perhimpunan penduduk Taman Sri Muda berkenaan isu banjir di sini hari ini.
Katanya, susulan perhimpunan itu satu memorandum akan diserahkan kepada kerajaan negeri bagi menuntut tiga perkara iaitu penyelesaian muktamad untuk menghentikan masalah banjir di kawasan berkenaan.
“Selain itu, kami menuntut penjelasan rasmi daripada kerajaan negeri serta pusat mengenai tindakan yang telah dan akan diambil selain memberi bantuan kepada mangsa banjir.
“Kami juga mahu satu ‘town hall meeting’ diadakan bersama Menteri Besar Selangor dan menteri Kabinet dalam masa 14 hari bermula daripada penyerahan memorandum ini,” katanya.
Katanya, kecuaian beberapa pihak dalam menangani masalah banjir menyebabkan penduduk setempat yang perlu menanggung akibatnya.
“Kami mahu pihak berkuasa, Menteri Besar, turun padang. Beritahu kami perkara sebenar, kami mahu penjelasan rasmi kerana kami terima banyak mesej yang berlainan mengenai masalah banjir ini.
“Sehingga kini, kami masih belum terima sebarang sidang media rasmi berkenaan isu banjir dan apakah penyelesaiannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE