PORT DICKSON – Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut selepas motosikal ditunggang bertembung satu-sama lain dalam nahas membabitkan enam motosikal di Kilometer (KM) 28.3 Lebuh Raya Seremban – Port Dickson (SPDH) arah Port Diskson di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, kejadian berlaku pada jam 3.15 pagi itu mengakibatkan mangsa, yang merupakan pelajar sebuah kolej meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
Beliau berkata, kejadian berkenaan melibatkan enam penunggang motosikal berusia antara 17 hingga 20 tahun yang ketika itu dalam perjalanan dari Seremban ke Port Dickson yang mana lima daripada mereka merupakan pelajar sebuah kolej di Port Dickson.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila sebuah motosikal telah melanggar belakang motosikal di hadapan, menyebabkan kesemua penunggang hilang kawalan dan bertembung antara satu sama lain.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederan parah di kepala. Lima lagi mangsa mengalami kecederaan ringan. Siasatan lanjut masih dijalanlan dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, ” katanya. – KOSMO! ONLINE