fbpx

Kontrak RM5 bilion menanti Verstappen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
VERSTAPPEN dikatakan tawar hati dan mula tidak selesa berada di garaj Red Bull ketika ini. - AFP

LONDON – Walaupun Max Verstappen masih terikat kontrak bersama Red Bull Racing hingga 2028, namun spekulasi perpindahan kini mula menghantui jaguh Belanda itu berikutan prestasi pasukan berpangkalan di Milton Keynes itu semakin goyah.

Aston Martin dikatakan bersedia menawarkan kontrak mega bernilai lebih £200 juta (RM1.16 bilion) setahun menjadikan jumlah keseluruhan bernilai lebih £1 bilion (RM5.83 bilion) jika menandatanganinya selama lima tahun.

Dengan kemampuan faktor kewangan kukuh dan hasrat untuk mencabar Red Bull, Ferrari serta Mercedes secara serius, Aston Martin muncul antara destinasi berpotensi buat Verstappen yang mula menunjukkan tanda-tanda tidak selesa di garaj pasukan ketika ini.

Bekas pelumba yang kini menggalas peranan sebagai penganalisis Formula Satu (F1), Ralf Schumacher berkata, Verstappen perli bijak mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ sambil mengintai peluang bersama pasukan-pasukan lain.

“Max (Verstappen) telah membuktikan dia boleh ubah menyertai mana-mana pasukan. Ruang untuknya akan sentiasa ada. Mercedes, McLaren, Aston Martin semua mahukannya,” kata Ralf.

Antara yang disebut sebagai pilihan utama Verstappen ketika ini ialah Mercedes yang dijangka membuka ruang selain pasukan Alpine juga dikatakan turut berminat.

McLaren juga dikaitkan meskipun mereka baru sahaja mengikat Lando Norris dan Oscar Piastri untuk jangka masa panjang.

“Zak Brown (Ketua Pegawai Eksekutif McLaren) pasti berminat. Walaupun sudah ada pelumba muda berbakat, nama Verstappen tetap jadi rebutan,” tambah Schumacher.

Dengan empat pasukan kini disebut-sebut menanti peluang untuk mengikat juara dunia tiga kali itu menjadikan musim perpindahan F1 lebih panas menjelang 2026. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI