fbpx
Lokasi pembinaan LTU Seksyen 3B dan 3C di Gua Musang yang dilaporkan kerap berlaku kesesakan terutama musim perayaan. – Foto oleh AIMUNI TUAN LAH/KOSMO!

Perantau Kelantan hadap sesak selagi LTU tak siap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Pengguna jalan raya khususnya perantau mendesak projek pembinaan Lingkaran Tengah Utama (LTU) Seksyen 3B dan 3C laluan ke ibu negara disiapkan mengikut tempoh ditetapkan bagi mengurangkan kesesakan terutama pada musim perayaan dan cuti sekolah.

Projek berkenaan penting kerana terletak di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dan kerap digunakan penduduk tempatan dan perantau untuk ke Kuala Lumpur atau Kota Bharu.

Pekerja swasta, Mohd. Zulfadli Mohd. Yusoff, 44, berkata, aliran trafik di laluan sementara begitu padat pada musim perayaan sehingga menyebabkan kenderaan tersangkut lama dalam kesesakan.

Tahap kemajuan projek LTU di laluan jalan masuk ke bandar Gua Musang sejak lebih dua tahun lalu dilihat sangat perlahan.

“Jadi setiap kali musim raya terutama Aidilfitri, anak-anak Kelantan terpaksa menempuh kesesakan lebih sejam melalui laluan sementara sejauh dua kilometer.

“Masalah kesesakan di kawasan tapak pembinaan projek itu menyusahkan orang ramai. Jadi, saya amat berharap kerja-kerja pembinaan jalan LTU dapat dipercepatkan demi kesenangan rakyat,” katanya.

Seorang warga emas, Abdullah Zakaria, 70, pula berkata, jalan sementara yang disediakan untuk kenderaan ringan di kawasan tersebut kerap rosak kerana turut digunakan kenderaan berat seperti lori dan bas.

Katanya, faktor jalan berlubang dan tidak rata menyebabkan pergerakan trafik terganggu apabila pemandu kenderaan berhati-hati ketika menggunakan jalan tersebut.

“Saya harap projek pembinaan LTU dapat disiapkan mengikut jadual untuk keselesaan pengguna jalan raya.

“Jalan LTU ini bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah kesesakan, tetapi bakal merancakkan lagi ekonomi penduduk Gua Musang,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berharap pihak kerajaan khususnya Kementerian Kerja Raya dapat memastikan gerak kerja di kawasan terlibat berjalan lancar dan di­siapkan mengikut jadual.

Katanya, kelewatan pembinaan LTU bukan sahaja menyusahkan pengguna jalan raya, tetapi akan meningkatkan kos pihak kontraktor dan kerajaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN