fbpx
Laporan Kosmo! semalam mengenai kes penderaan penghuni rumah kebajikan di Cheras.

Jiran dengar suara budak menjerit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Jiran yang tinggal berdekatan sebuah rumah kebajikan di Cheras yang sebelum ini tular ekoran dakwaan terdapat kes penderaan terhadap penghuni di sini, mendakwa pernah beberapa kali mendengar suara orang dewasa sedang marah selain jeritan kanak-kanak dari premis terbabit.

Cho Hon Khai Michael, 24, berkata, sepanjang 14 tahun hidup di kejiranan itu, dia juga tidak pernah melihat kanak-kanak dari rumah kebajikan itu keluar untuk beraktiviti.

“Saya juga ada berkawan de­ngan seorang bekas penghuni dari rumah itu. Dia kata, sepanjang duduk sana, penjaga rumah kebajikan tidak bagi dia keluar. Dia cuma boleh pergi sekolah dan balik, itu sahaja. Main bola pun kena keluar ikut pintu belakang, pintu depan tak boleh langsung.

“Pemilik rumah kebajikan juga dikatakan bersikap terlalu tegas dengan kanak-kanak di sana. Rakan saya juga pernah dirampas telefon bimbit sewaktu dia masih kecil dan tidak pernah dipulangkan kembali,” kongsinya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Tambahnya, dia juga terkejut apabila membaca berita mengenai kes yang berlaku di dalam rumah kebajikan tersebut sehingga ada penghuni dikurung di dalam bilik sempit dan berkunci.

“Saya pernah dengar sua­ra orang menjerit, jadi budak-budak semua ‘behave’ (berkelakuan baik). Tapi amat mengejutkan saya bila tengok balik video yang tular baru-baru ni, saya terkejut sangat sebab ada ‘sangkar’.

“Dulu pernah adik saya ingin buat tugasan tentang rumah kebajikan di sana, tetapi tidak dibenarkan sebab katanya mereka tidak buat aktiviti komuniti macam itu,” katanya.

Seorang lagi jiran, Johney Tan, 83, menyifatkan perilaku kanak-kanak di rumah kebajikan tersebut adalah baik dan sering menegurnya dan isteri apabila terserempak.

“Kami tengok (mereka) baik sahaja. Budak-budak pun nampak okey. Bila nampak akan tegur hai aunty, uncle,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Kos­mo! ke rumah kebajikan terbabit semalam mendapati keadaan premis sunyi tanpa penghuni.

Keadaan persekitaran rumah dilihat dipenuhi dengan pelbagai barang serta kotak termasuklah susunan kasut serta selipar di satu rak khas.

Terdapat juga timbunan anak patung di hadapan pintu rumah yang dibiarkan, manakala pintu pagar premis itu tidak kelihatan sebarang notis penutupan ditampal, hanya dihadap dengan sebuah meja serta kon.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Se­langor, Azmir Kassim berkata rumah kebajikan persendirian yang disyaki terlibat kes penderaan kanak-kanak itu ditutup sementara.

Katanya, penguatkuasaan penutupan sementara itu dibuat di bawah Seksyen 15 Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) selepas pasangan suami isteri yang juga pemilik dan penjaga rumah ter­babit ditahan polis kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, penahanan ke atas kedua-dua individu berusia 66 dan 68 tahun itu dibuat pada pukul 3.20 petang dan suspek direman selama sehari bagi membantu siasatan membabitkan kes penderaan kanak-kanak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN