MESKIPUN telah hidup bersama hampir 25 tahun, namun perkahwinan yang dibina oleh seorang lelaki dikenali sebagai Zainal bersama isterinya terlerai jua.
Menurutnya, isteri tercinta telah mengkhianati hubungan yang mereka bina atas dasar cinta antara satu sama lain itu.
“Saya menyangka dia akan menemani saya sehingga akhir usia, tetapi dia memilih untuk berlaku curang di belakang saya.
“Isteri saya memilih untuk menjalin hubungan dengan lelaki lebih muda daripadanya,” ujar lelaki berusia awal 50-an itu.
Sepanjang melayari bahtera perkahwinan, dia dan isterinya yang berusia lewat 40-an tidak mempunyai sebarang masalah.
Mereka hidup bahagia dan dikurniakan dengan dua cahaya mata yang telah memasuki usia remaja.
Zainal sentiasa setia kepada isterinya dan tidak pernah menjalin hubungan dengan mana-mana wanita lain.
Namun begitu, kira-kira dua tahun lalu, rumah tangganya dilanda ‘badai’ apabila isterinya berlaku curang.
Isterinya seorang yang bekerjaya dan sentiasa menjaga penampilan. Maka tidak hairanlah ada lelaki yang ingin cuba mendekatinya.
“Isteri saya bekerja dalam sektor swasta dan sering bertemu dengan ramai orang untuk urusan kerja.
“Dalam diam, dia menjalin hubungan dengan seorang lelaki yang dikenalinya atas urusan kerja.
“Semuanya terbongkar selepas saya melihat perbualan mesra mereka seperti pasangan yang menjalinkan hubungan cinta di dalam satu aplikasi,” jelas Zainal.
Setelah hubungan tersebut diketahui oleh Zainal, isterinya menangis meminta maaf dan menyatakan dia hanya suka-suka berhubungan dengan lelaki itu.
Isterinya meminta untuk diberikan peluang kedua dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
Disebabkan rasa sayang, Zainal memaafkan isterinya.
Selepas peristiwa itu, Zainal sering memeriksa telefon pintar isterinya bagi memastikan dia tidak menjalinkan hubungan dengan mana-mana lelaki lain.
Namun begitu, selepas setahun berlalu, Zainal mendapat tahu bahawa isterinya masih menjalin hubungan dengan lelaki sama.
Semuanya terbongkar selepas salah seorang rakan Zainal melihat isterinya pergi bercuti bersama seorang lelaki lebih muda di sebuah pulau di Thailand.
“Isteri saya beritahu, dia dan rakan-rakan wanitanya ingin pergi bercuti ke Thailand bersama-sama.
“Saya membenarkan dia pergi bercuti kerana sentiasa percaya kepadanya.
“Namun kebetulan, rakan saya juga pergi ke Thailand dan dia ternampak isteri saya bersama seorang lelaki berjalan sambil berpegangan tangan,” katanya.
Zainal kemudian bertanyakan hal tersebut dan meminta isterinya berterus terang mengenai perkara itu.
Isterinya pada awal menafikan hal tersebut, tetapi Zainal mengetahui bahawa isterinya sedang berbohong.
Pertengkaran berlaku antara mereka. Akhirnya setelah didesak, isterinya mengaku bahawa dia ada menjalin hubungan dengan lelaki lain yang jauh lebih muda.
“Isteri saya memberitahu, dia mencintai lelaki itu sepenuh hati.
“Malah, lelaki itu lebih pandai mengambil hati dan melayaninya dengan penuh romantik berbanding saya.
“Bukan itu sahaja, isteri saya juga menjelaskan bahawa dia sudah bosan hidup dengan saya.
“Rasa cinta dan sayangnya terhadap saya juga sudah lama hilang disebabkan kehadiran lelaki berkenaan.
“Dia minta saya menceraikannya dengan cara baik. Ini bagi membolehkannya bersama dengan lelaki itu dan dia tidak mahu lagi hidup bersama saya,” ujarnya.
Zainal berasakan tidak ada gunanya lagi dia cuba mempertahankan rumah tangga mereka jika isterinya memiliki insan lain yang lebih disayangi.
Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk melepaskan isterinya. Mereka sah berpisah di salah sebuah Mahkamah Syariah di Lembah Klang.














