PETALING JAYA – Sektor pembuatan terutamanya yang bergantung kepada eksport ke Amerika Syarikat (AS) dijangka mengalami kesan lebih buruk susulan pengumuman tarif timbal balik 24 peratus dikenakan negara itu ke atas Malaysia berkuat kuasa hari ini.
Lebih membimbangkan, kira-kira 269,000 pekerja khususnya dalam bidang elektrik dan elektronik akan menerima tempiasnya kerana sebelum ini kebanyakan produk mereka di eksport ke AS dan beberapa negara Barat lain.
Memperincikan kesan kepada sektor itu, pakar ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, para pengimport di negara AS mungkin tidak lagi membeli barangan dari Malaysia kerana harganya akan menjadi lebih mahal dicampur dengan cukai tarif antara 10 hingga 24 peratus.
“Jadi ini akan menyebabkan mereka mungkin mencari pembekal baharu dari negara lain yang tidak mengenakan kadar tarif tinggi atau meminta pembekal Malaysia menurunkan harga.
“Apabila harga turun margin keuntungan syarikat akan menurun, sekali gus memberi kesan langsung kepada pekerja. Mungkin syarikat akan mengurangkan pekerja
atau mengurangkan gaji kerana mereka akan mengehadkan pengeluaran ekoran permintaan merosot,” katanya semalam.
Barjoyai berkata, ia turut memberi kesan penurunan nilai eksport kira-kira RM32 bilion dan menjejaskan lebih 269,000 pekerja dalam sektor terbabit.
“Begitu juga dengan kadar upah dan pekerja juga turut akan berkurang sehingga RM10 bilion serta kadar cukai kepada kerajaan juga dijangka berkurangan sebanyak RM0.6 bilion,” katanya.
Pada masa sama, Barjoyai tidak menolak kemungkinan harga barangan akan terus meningkat sekurang-kurangnya 10 peratus ekoran sentimen peniaga ke atas tarif itu.
“Ada peniaga mungkin akan menaikkan harga sebab mereka fikirkan ia (tarif baharu) akan menjejaskan keuntungan.
“Jadi mereka (peniaga) akan menaikkan harga sekarang. Ini akan menyebabkan harga barang-barang naik dan pengguna akan merasa kesannya,”ujarnya.
Bagaimanapun katanya, bagi kesan jangka panjang, kenaikan tarif baharu itu akan membuka pasaran yang lebih luas kepada syarikat dan perusahaan di negara ini.
Ini kerana katanya, syarikat atau perusahaan boleh meneroka pasaran baharu terutamanya di sekitar Asia, Asia Barat dan serantau.














