BARU-BARU ini, negara dikejutkan dengan kejadian bunuh seorang wanita warga emas yang disyaki ditukul anak sendiri sebelum jasadnya dibakar sehingga rentung di sebuah rumah di Kampung Bok Bok, Alor Setar, Kedah.
Perbuatan kejam itu didakwa dilakukan pelaku berusia 43 tahun yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental.
Ia merupakan salah satu kes jenayah membabitkan pesakit mental. Selain itu, terdapat juga kes-kes kemalangan maut melibatkan golongan tersebut.
Kekerapan kes melibatkan pelaku OKU mental sejak akhir-akhir ini menyebabkan orang ramai cenderung mengaitkan sesuatu kejadian itu dengan golongan tersebut.
Mengikut data Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan kumulatif OKU mental meningkat 7.2 peratus iaitu daripada 55,064 orang pada tahun 2022 kepada 59,053 pada 2023.
Bagi mengupas isu tersebut, wartawan Kosmo! Ahad, Norlida Akmar Idros menemu bual Pakar Perunding Psikiatri dan Psikologi Kedah Medical Centre, Dr. Wan Mohd. Rushidi Wan Mahmud baru-baru ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai isu itu.

KOSMO! AHAD: Sejak kebelakangan ini banyak berlaku kejadian pesakit mental mencederakan ahli keluarga. Adakah kes seumpama itu semakin serius dan membimbangkan?
DR. WAN MOHD. RUSHIDI: Ia lebih kepada persepsi masyarakat kita yang cenderung mengaitkan sesuatu kes jenayah dengan pesakit mental. Pesakit mental dilihat sebagai seorang yang ganas dan berbahaya.
Mengikut satu kajian di Amerika Syarikat, hanya empat peratus kes keganasan yang dilaporkan melibatkan pesakit mental.
Kes-kes melibatkan pesakit mental kebiasaannya menjadi ‘hangat’ dan popular di berita arus perdana dan juga media sosial.
Apakah jenis penyakit mental yang paling teruk?
Penyakit mental dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu psikosis dan bukan psikosis. Psikosis ini apabila seseorang individu mengalami kecelaruan fikiran sehingga tidak dapat membezakan antara realiti dan fantasi.
Salah satu penyakit mental yang serius adalah skizofrenia. Ia boleh mengganggu pemikiran, emosi, fungsi kognitif, tingkah laku dan persepsi yang mana pesakit mengalami halusinasi dan delusi termasuk mendengar suara ghaib.
Terdapat kira-kira satu peratus daripada populasi global didiagnos menghidap skizofrenia.
Pesakit yang mempunyai delusi contohnya, berasakan terdapat orang yang benci atau tidak suka kepada mereka walaupun tidak ada bukti nyata.
Mereka juga mendengar suara-suara ghaib (halusinasi) dengan mengarahkan mereka sama ada untuk mencederakan diri sendiri atau orang lain terutama ahli keluarga atau saudara terdekat.
Bagi kalangan ibu yang mengalami gangguan psikosis selepas bersalin atau lebih popular sebagai gila meroyan, ada dalam kalangan mereka yang nampak anak dilahirkan seolah-olah bukan anak sendiri.
Bayi dilihat seolah-olah menyerupai binatang atau syaitan dan ini menyebabkan mereka berisiko untuk mencederakan bayi sendiri.
Risiko pesakit mental yang serius kepada orang ramai terutama ahli keluarga?
Jika tidak menerima rawatan dan ubat yang betul daripada doktor bertauliah, pesakit dikhuatiri mencederakan diri sendiri dan orang terdekat.
Sokongan dan bantuan ahli keluarga sangat penting dalam memastikan pesakit mental mendapatkan rawatan yang tepat dan mengambil ubat mengikut masa ditetapkan.
Ahli keluarga juga perlu menjaga emosi pesakit, tidak terlalu mengkritik atau memberi tekanan. Namun begitu, jika pesakit mengamuk, mereka perlu mendapatkan bantuan pihak polis dengan segera atas faktor keselamatan.
Kesedaran orang ramai tentang masalah mental? Adakah masih ramai yang tidak mendapatkan rawatan daripada doktor bertauliah?
Ya, saya percaya masih ramai yang mengelak daripada mendapatkan rawatan di hospital. Sebahagian daripada mereka terutama masyarakat Melayu lebih percayakan bomoh atau pengamal perubatan tradisional.
Sebilangan masyarakat lebih mudah terima saka atau sihir sebagai punca penyakit, berbanding mendapatkan rawatan di hospital kerana enggan dilabel ‘gila’.
Bukan rawatan alternatif tidak baik, cuma ramai yang dah bila jadi teruk baru mahu mendapatkan perawatan daripada doktor di hospital.
Punca pesakit mental yang mendapatkan rawatan di hospital tetapi masih berkelakukan di luar kawalan?
Jika sudah mendapat rawatan di hospital, adalah perlu untuk memastikan diagnosis yang dilakukan tepat dan rawatan diberikan mencukupi.
Mungkin ada yang tidak makan ubat mengikut dos ditetapkan atau tidak mengambil ubat dalam tempoh tertentu.
Tindakan itu dikhuatiri menyebabkan keadaan pesakit menjadi teruk dan dibimbangi mencederakan diri sendiri atau orang lain.
Bagaimana Dr. lihat dengan perawatan pesakit mental di negara ini? Apa cabaran ketika ini?
Boleh saya katakan bahawa 99 peratus insurans tidak melindungi penyakit berkaitan mental. Perlindungan insurans sangat penting memandangkan semakin ramai rakyat mengalami masalah kesihatan mental.
Sekarang ramai yang mengalami masalah kemurungan terutama selepas pandemik Covid-19 melanda dunia.
Kerajaan boleh membantu dengan menggalakkan syarikat insurans memberi perlindungan kepada penyakit berkaitan masalah mental.
Adakah pesakit mental boleh dibicarakan di mahkamah atas kesalahan jenayah dilakukan?
Pesakit mental akan menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak. Di sana, pakar psikiatri akan menentukan sama ada individu itu menghidap sakit jiwa atau tidak, seterusnya mengenal pasti jenis penyakit mental dihidapi.
Dalam pemeriksaan itu juga, pakar akan mengenal pasti sama ada pesakit sedar atau tidak semasa perbuatan jenayah dilakukan serta faham kesan dan akibat perbuatan berkenaan.
Ada yang mengaitkan bulan mengambang dengan pesakit mental, yang mana waktu itu pesakit akan mengamuk dan bertindak di luar kawalan, adakah ia benar atau sekadar tahyul?
Dakwaan itu tidak konklusif kerana tiada bukti kukuh. Namun di luar negara, musim sejuk boleh menyebabkan sesetengah individu mengalami kemurungan disebabkan gangguan afektif bermusim (SAD).














