PENGALAMAN duduk di tepi pantai sambil menghirup secawan kopi sememangnya menjadi salah satu aktiviti santai yang mendamaikan, khususnya apabila berkunjung ke lokasi percutian di kawasan pantai.
Tidak hairanlah, kafe tepi pantai sering menjadi lokasi tumpuan pelancong khususnya dari bandar tatkala bercuti di kawasan peranginan seperti Port Dickson, Negeri Sembilan.
Bagi merealisasikan impian pelanggan untuk datang menjamu selera bersama tiupan angin pantai yang menenangkan, sepasang suami isteri nekad membuka sebuah kafe tepi pantai di lokasi percutian popular itu.
Kafe Kopi & Kueh: By The Beach yang dibuka tahun lalu di Jalan Pantai, Port Dickson menyajikan aneka juadah menarik kepada pelanggan seperti buttercream latte, piza neapolitan, pasta, bagel, aneka pastri dan pelbagai pencuci mulut enak.

Pemiliknya, Mohd. Helmy Fathil, 33, dan Nurfarahin Abdul Kadir, 32, berkata, kafe tersebut merupakan cawangan kedua mereka selepas melihat sambutan menggalakkan daripada pengunjung, khususnya mereka yang mahu bersantai di kawasan pantai.
“Selepas membuka kafe pertama dengan nama Kopi & Kueh beberapa tahun lalu di daerah ini, saya dan isteri mendapat idea untuk membuka cawangan kedua.
“Ini kerana, ramai pelanggan yang memberitahu kami bahawa mereka mahukan suasana pantai apabila berkunjung ke Port Dickson,” kata Mohd. Helmy kepada CitaRasa.
Tambah anak kelahiran Port Dickson itu, kafenya menyajikan seleksi juadah enak dan trendy, sesuai permintaan pelanggan pada masa kini serta memenuhi selera segenap lapisan masyarakat.
Jelasnya, menu wajib cuba di Kopi & Kueh: By The Beach adalah piza neapolitan dan juga buttercream latte yang menjadi menu paling laris di premis itu.

Mohd. Helmy berkata, pemilihan menu ditentukan oleh pelanggannya sendiri, memandangkan dia akan bertanya kepada pelanggan tentang menu pilihan mereka.
“Bercakap mengenai pemilihan hidangan di sini, selalunya ia adalah mengikut permintaan pelanggan.
“Hal ini kerana saya dan isteri selalu bertanya kepada pelanggan tentang menu yang mereka mahukan, selain membuat research tentang menu-menu terkini dan yang sedang trending,” katanya.
Berkongsi tentang pelanggannya, Mohd. Helmy berkata, pelancong luar Port Dickson menjadi pelanggan utama, khususnya pada hujung minggu dan cuti umum.
Namun, pada hari-hari biasa, dia banyak menerima kunjungan penduduk daerah itu yang sukakan konsep kafe tersebut.
















