Saya ingin bertanya tentang hukum memakan probiotik atau bakteria yang diambil daripada usus manusia. Hal ini kerana, terdapat ubatan atau suplemen yang menggunakan probiotik bersumberkan usus manusia. Persoalannya, adakah makanan yang diambil daripada sumber badan manusia boleh diperluaskan dalam produk-produk kesihatan? Adakah halal dimakan? Mohon pencerahan.
JAWAPAN: SECARA umumnya, setiap anggota badan manusia tidak boleh diperdagangkan mahupun dimanfaatkan oleh orang lain kerana juzuk anggota anak Adam itu dimuliakan. Hal Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam”(Surah al-Isra’: 70)
Imam al-Syawkani mentafsirkan ayat di atas bahawa Allah SWT telah memuliakan anak-anak Adam dengan mengurniakannya berbagai bentuk nikmat.
Antaranya, manusia itu sendiri diciptakan dalam rupa bentuk terbaik dan juga diberi keistimewaan yang tidak diberikan kepada ciptaan-ciptaan-Nya yang lain seperti makanan, minuman pakaian dan sebagainya.
Dalil syarak yang mengharamkan sesuatu makanan untuk dimakan bukanlah disebabkan semata-mata kerana kotor dan jijik, bahkan disebabkan kemuliaan dan kehormatan yang terdapat padanya seperti juzuk anggota anak Adam. Perkara ini telah dijelaskan oleh ulama ketika mensyarah hadis berkenaan larangan berubat dengan sesuatu yang bernajis dan haram. Diriwayatkan daripada Ummu Salamah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak menjadikan penyembuh buat kamu daripada sesuatu yang diharamkan ke atas kamu.” (Riwayat al-Baihaqi)
Berdasarkan hadis ini, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa terdapat pengharaman yang jelas untuk berubat dengan sesuatu yang bernajis dan haram. Hal ini kerana, tiada keperluan untuk menggunakannya sekiranya sudah ada ubat-ubatan suci yang mencukupi dan boleh menggantikan benda-benda yang haram dan bernajis.
Keharusan untuk berubat atau makan daripada yang sumber haram hanya dibenarkan ketika situasi darurat. Hal ini kerana, kemuliaan manusia ketika hidupnya adalah lebih utama berbanding ketika matinya, meskipun terdapat keharusan untuk memakan daging daripada mayat manusia dalam keadaan terpaksa dan tiada pilihan selain daripadanya ketika itu.
Seterusnya, probiotik yang diambil daripada badan manusia hanyalah bersifat alternatif kerana masih terdapat sumber probiotik lain walaupun tidak menunjukkan kesan yang sama. Begitu juga, masih belum ada penemuan penyakit-penyakit berbahaya pada tahap darurat yang perlu kepada khasiat khusus daripada probiotik manusia.
Merujuk kepada Garis Panduan Bersama Kawalan Ubat-ubat dalam Islam oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sumber ubat boleh dibahagikan kepada beberapa kelompok iaitu sumber manusia, sumber haiwan, sumber tumbuhan, sumber tanah dan air.
Ubat-ubatan yang diperbuat daripada sumber manusia adalah haram untuk digunakan kecuali dalam keadaan darurat serta tiada pilihan lain.
Tambahan pula, melalui teknologi moden pada masa kini, kebanyakan ubatan dapat dihasilkan oleh bahan sintetik. Bahan-bahan yang terbit daripada sumber manusia selalunya melibatkan zat-zat tertentu seperti hormon, serum, imunoglobulin dan sebagainya yang diambil dari tubuh manusia.
Kesimpulan, hukum memakan ubatan atau suplemen yang mengandungi sumber probiotik (bakteria) daripada badan manusia adalah haram kerana juzuk anggota anak Adam itu adalah sesuatu yang dimuliakan.
Hal ini kerana, masih terdapat alternatif probiotik lain yang menggantikan probiotik daripada sumber badan manusia serta bagi mengelakkan amalan eksploitasi terhadap kemuliaan tubuh badan manusia.














