GEORGE TOWN – Lebih 100 pengemis jadian dikesan mula ‘berumah tangga’ di kaki lima bangunan dan pekarangan luar Masjid Kapitan Keling sejak malam kelmarin dengan ada yang bawa bersama anak kecil dan ibu bapa yang sedang uzur.
Tinjauan Kosmo! mendapati, majoriti pengemis yang terdiri dalam kalangan warga tempatan itu masih tidak berganjak di lokasi berkenaan sehingga pukul 2 pagi.
Rata-rata mereka yang hadir berkeluarga itu dilihat duduk serta baring di lantai kaki lima premis-premis, termasuk ada yang berjalan ke hulu hilir sementara menunggu kehadiran individu pemurah.
Malah, keadaan persekitaran di kawasan itu juga kelihatan kotor dengan sampah sisa makanan dan minuman serta pakaian terpakai dilihat dalam keadaan bersepah.
Seorang pengemis muda berkata, dia tinggal di kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) berhampiran lokasi tersebut dan datang ke kawasan itu seawal pukul 8 malam untuk mencari duit raya sumbangan jemaah masjid.
Dakwanya, dia hadir bersama rakan wanita serta beberapa ahli keluarga lain pada malam 27 Ramadan sekadar mencuba nasib berikutan lokasi tersebut sudah dianggap sebagai ‘rumah’ persinggahan wajib bagi mereka setiap kali hujung Ramadan.
“Dalam masa dua jam, saya sudah kumpul RM65. Ini belum tunggu sampai ke subuh. Paling banyak dapat RM10 dari seseorang dan kebanyakan beri setakat RM1 atau RM2 sahaja.
“Kami akan tunggu di sini sampai jemaah selesai solat subuh sebelum pulang ke rumah. Esoknya, kami akan datang lagi selepas berbuka puasa sehinggalah menjelang 1 Syawal nanti,” katanya ketika ditemui kelmarin.
Sementara itu, seorang bapa kepada tiga anak lelaki berkata, mereka lima beranak datang ke situ pada pukul 12.30 malam semalam dan akan menunggu di situ itu sehingga ke lewat pagi.
“Kami sudah hilang rasa malu untuk mengambil duit yang diberikan. Setiap anak juga sudah dibekalkan beg silang untuk menyimpan wang.
“Lagipun, ramai lagi yang bawa anak-anak kecil ke sini. Ada juga yang berkeluarga.
“Setakat tadi (malam semalam), kami lima beranak baru kumpul RM50,” katanya yang pulang ke rumah selepas waktu sahur.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan pengemis bermusim terutama di Jalan Masjid Kapitan Keling di sini, dipercayai sudah beralih tumpuan ke beberapa lokasi baharu di Pulau Pinang termasuk ada dalam kalangan mereka yang meluaskan ‘jajahan’ ke negeri lain.














