fbpx
Berhati-hati di jalan raya bila pulang ke kampung. - Gambar hiasan

Jangan sampai kepulangan ditangisi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP tahun jutaan kenderaan anak perantau akan meninggalkan ibu negara Kuala Lumpur bagi memulakan perjalanan tradisi balik kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tercinta.

Mereka biasanya bergerak pulang dua atau tiga hari sebelum ketibaan 1 Syawal dan sejak semalam, ramai yang sudah mula memulakan perjalanan jauh mereka.

Pada tahun ini, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan lonjakan trafik yang ketara menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, dengan anggaran melebihi dua juta kenderaan pada dua tiga hari sebelum perayaan.

Jumlah ini hanya di Lebuh Raya Utara Selatan, kalau mahu dikira dengan Lebuh Raya Pantai Timur, selain jalan-jalan negeri serta Jalan Raya Timur Barat dari Gerik, Perak menuju ke Jeli, Kelantan angkanya mungkin berganda.

Dalam keghairahan kita untuk pulang menyambut raya, jangan dilupa untuk menjaga keselamatan ketika memandu dengan mematuhi peraturan lalu lintas, pastikan kenderaan dalam keadaan baik, selain merancang pergerakan pulang.

Juga diingatkan tidak memotong barisan serta mematuhi lampu isyarat bagi mengelakkan bukan sahaja disaman, tetapi juga dapat sampai ke tempat tujuan dengan selamat.

Jangan pula kepulangan kita ditangisi disebabkan terlalu ‘gopoh’ ketika berada di jalan raya kononnya untuk cepat tiba di kampung. Percayalah kampung tidak akan ke mana, kita pula akan terkorban jika tidak cermat ketika memandu.

Perlu diingat, dalam keadaan jalan raya yang sesak dengan kenderaan, mungkin timbul kejadian tidak diingini seperti pergaduhan atau pembuli jalanan, maklumlah berdepan jalan sesak macam-macam perangai manusia boleh dilihat.

Bagi perantau yang mahu pulang ke Kelantan menerusi laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Bentong, Pahang diminta tidak membuat ‘perangai’ lama yang suka membuang sampah di tepi jalan seperti yang berlaku sebelum ini kerana pihak berkenaan telah menyediakan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) sementara di Bentong Bypass yang mula dibuka sejak Selasa lalu.

Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bentong, Datuk Rose Samsul Abdul Razak baru-baru ini dipetik sebagai berkata, R&R sementara di Kawasan Lebu menghala ke Raub itu sudah boleh digunakan pengguna yang melalui jalan berkenaan.

Amat diharapkan agar pengguna yang berasa penat selepas memandu dalam tempoh lama boleh berhenti di R&R tersebut yang boleh memuatkan kira-kira 100 kenderaan ringan dan tidak ‘beradu’ di kawasan berbahaya seperti tahun-tahun sebelum ini.

Isu pembuangan sampah di laluan LTU tersebut sebelum ini bagaikan tiada kesudahan apabila masih banyak plastik, botol air minuman dan bekas makanan yang dibuang di tepi jalan begitu sahaja.

Masalah sampah sarap yang memenuhi bahu jalan di sepanjang laluan LTU itu berulang setiap kali musim cuti terutamanya perayaan. Sikap sesetengah individu yang sambil lewa dan tidak bertanggungjawab membuang sampah di kawasan itu amat dikesali dan diharap isu berkenaan dapat dinoktahkan dengan pembinaan R&R tersebut.

Lebih memalukan, bukan sahaja sampah yang ditemui sepanjang jalan tersebut, malahan lebih menjijikkan botol berisi air ken­cing dibuang sesuka hati di bahu-bahu jalan.

Bau busuk dan hancing turut memenuhi kawasan terbabit, mencacatkan pemandangan serta menimbulkan ketidakselesaan kepada pengguna lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN