fbpx
Hulurkan kemaafan pada hari raya ini dan lupakan sengketa sesama kita. - Gambar hiasan

Hari raya, hari untuk saling bermaafan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JIKA berbicara tentang Hari Raya Aidilfitri, tiada lain yang terlintas dalam benak fikiran iaitu bulan kemenangan untuk saling bermaafan.

Tidak lengkap sambutan hari lebaran jika tiada tradisi ‘salam raya’ yang umum tahu untuk memohon keampunan dari ahli keluarga dan sahabat handai.

Bukan tidak bermaafan di bulan-bulan lain, tetapi memohon keampunan daripada individu lain pada bulan ini mampu memberi kepuasan berbeza buat mereka yang melakukannya.

Sebaik-baiknya, ungkapan maaf zahir dan batin yang berulang kali diucapkan tidak hanya di bibir semata-mata dan seharusnya ikhlas dari hati.

Namun, ada juga berpendapat bahawa sesi bersalaman itu bukan rutin wajib pada hari raya.

Realitinya ketika ini, sifat ego segelintir individu khususnya generasi muda melebihi daripada perasaan lain sehingga melenyapkan tradisi sedia ada.

Mungkin ada yang menyifatkan ego mereka akan tercalar sekiranya menjadi orang pertama dalam menghulur tangan memohon maaf.

Hakikatnya, kecil atau besar kesalahan bukanlah ukuran, namun sejauh mana setiap orang itu mampu mengungkap ucapan maaf dan menghulurkan salam perdamaian.

Perkara tersebut sekali gus meletakkan harga diri yang tinggi bagi seorang manusia.

Menurut pendakwah bebas, Ustaz Amin Idris, jika diimbau sejarah Nabi Muhammad SAW, baginda memaafkan bukan hanya pada bulan Syawal, tetapi setiap masa.

“Namun dalam konteks di Malaysia, kita unik sikit sebab mengkhususnya minta maaf pada hari raya Aidilfitri.

“Dalam agama perkara ini memang ada keistimewaan yang dinyatakan dalam al-Quran iaitu sesungguhnya memaafkan itu menghampirkan kita dengan taqwa.

“Bahkan, jika kita mengasihi insan lain, secara automatik akan dikasihi orang juga, itu juga dinyatakan dalam hadis,” katanya.

Tambah Amin, individu yang memaafkan mana-mana kesalahan menerima ganjaran besar dan diangkat darjatnya oleh Allah SWT.

“Orang yang memaafkan, Allah akan ampunkan dosanya. Itu adalah keistimewaan dan kelebihan buat mereka terutama pada hari raya.

“Jadi, ketepikan segala rasa tidak sepatutnya dalam hati dan memaafkan setiap kesalahan orang lain,” ujarnya.

Penyampai radio yang juga bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pula berpendapat setiap umat Islam perlu mendalami makna Syawal dengan sebaik-baiknya.

Ujarnya, setiap individu yang menyambut bulan kemenangan ini perlu meraikannya selain meneruskan tradisi bermaafan.

“Maaf-bermaafan itu sangat penting, biasalah dalam hidup setiap individu pasti ada konflik dengan orang lain.

“Segelintir kita mungkin akan kekok nak selesaikan konflik tetapi hari raya adalah peluang terbaik untuk leraikan kemelut itu,” jelasnya.

“Selalunya pada hari lain memang sukar untuk melakukannya, tetapi Syawal membuka ruang untuk saling bersalaman dan bermaaf-maafan.

Ujarnya, perkara tersebut juga peluang untuk memperbaiki hubungan yang keruh dengan individu lain.

“Nikmati Syawal dan perbaharui hubungan dengan orang lain terutama keluarga.

“Jangan sia-siakan keistimewaan bulan Syawal terutama pada pagi raya.

“Sebab semua yang meraikannya tidak tahu mungkin ini raya terakhir yang kita sambut,” ujarnya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN