fbpx
KEADAAN jari hantu pada tangan kanan seorang remaja yang putus selepas bermain mercun bola di Labok dekat Machang baru-baru ini.

Putus jari dan raya bagai berpisah tiada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Entah bagaimana, mercun hari ini sering kali dianggap sebagai sebahagian daripada tradisi sambutan hari raya, kononnya ia dianggap sebagai simbol keriangan dan kemeriahan, dengan letupan dan cahaya berwarna-warni yang memeriahkan suasana.

Kini, ia dijual secara terbuka dan berleluasa walaupun ramai yang menyedari tentang risiko bahaya bermain mercun apatah lagi terhadap kanak-kanak. Mereka mudah tertarik dengan letupan mercun dan percikan bunga api tanpa menyedari bencana yang bakal menimpa jika tersilap langkah.

Setakat ini, sudah terdapat tiga kes putus jari dalam kalangan kanak-kanak akibat bermain mercun dilaporkan berlaku. Kes yang pertama berlaku pada 14 Mac lalu di Machang, Kelantan apabila seorang remaja berusia 14 tahun cedera parah dan putus jari kanannya akibat mercun bola meletup sebelum sempat ia dilempar.

Ia disusuli dengan kes kedua pada 18 Mac apabila dua beradik berusia empat dan tujuh tahun cedera parah akibat terkena mercun bola dalam kejadian di Kuala Nerang, Kedah sebelum disusuli dengan kes ketiga di Jeli pada 23 Mac lalu apabila tiga pelajar cedera dan melecur termasuk seorang putus jari akibat bermain mercun yang diubah suai.

Kes-kes sebegini sebenarnya berlaku hampir setiap tahun, tetapi ramai yang seolah-olah tidak mempedulikannya. Mereka tetap bermain mercun walaupun tahu risiko bahaya yang bakal dihadapi. Lebih malang, ibu bapa sendiri pun ‘sama naik’ dengan anak masing-masing.

Puncanya mudah, sebab mereka masih belum kena. Bila dah ada kes jari anak sendiri yang putus atau mengalami cedera parah sehingga perlu dirawat di hospital, masa tu baru mungkin timbul rasa menyesal.

Jika jari milik anak sudah putus dan anak pula akan mengalami kecacatan kekal, setinggi gunung penyesalan pun mungkin sudah tidak berguna. Kalau setakat jari yang putus mungkin masih okey, tapi bayangkan kalau letupan mercun itu terkena mata dan mata menjadi buta.

Masa depan anak-anak kita tentu saja akan menjadi gelap semata inginkan keseronokan seketika.

Memang benar bermain mercun ini adalah satu bentuk hiburan yang menyeronokkan, namun ia boleh mendatangkan bahaya dan menyebabkan mangsa mengalami kecacatan kekal seumur hidup.

Oleh itu, sebagai ibu bapa, lebih elok rasanya kita jangan beri peluang kepada anak-anak bermain mercun. Beritahu mereka tentang risiko bahaya yang mungkin berlaku. Hampir setiap tahun ada saja kes kanak-kanak mahupun remaja yang putus jari akibat bermain mercun, jadi tak usahlah kita terlibat sama.

Didiklah mereka tentang bahaya mercun sejak awal dan kalau boleh fahamkan mereka mengapa lebih baik tidak bermain mercun sama sekali. Paling penting kita mahu Hari Raya

Aidilfitri disambut dengan riang gembira bersama keluarga dan sahabat handai, dapat menikmati pelbagai juadah istimewa dan meraikan kejayaan sebulan berpuasa. Kalau jari sudah tiada atau terdapat bahagian anggota badan lain sudah cacat, adakah kita masih seronok untuk menyambut Aidilfitri?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN