fbpx
Lewis-Skelly menjadi antara bintang muda paling menyerlah di England ketika ini.

Lewis-Skelly elak jadi Ashley Cole

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NAMA Miles Lewis-Skelly kini menjadi bualan peminat-peminat bola sepak dunia terutamanya Arsenal dan England susulan lonjakan prestasinya secara mendadak.

Bintang muda itu hanya mengambil masa 20 minit untuk menunjukkan impak segera pada debut antarabangsanya bersama England dengan mencipta sejarah baharu The Three Lions.

Bek kiri itu menjadi pemain termuda England merakam jaringan dalam penampilan pertama pada usia 18 tahun 176 hari selepas meledak satu gol menewaskan Albania sewaktu kelayakan Piala Dunia 2026 baru-baru ini.

Ia sekali gus memecahkan rekod yang sebelum ini dipegang oleh Marcus Rashford ketika menjaringkan gol menentang Australia pada Mei 2016 sewaktu berusia 18 tahun 209 hari.

Kecemerlangan itu menggambarkan masa depan cerah bersama England dan tidak mustahil mampu memastikan posisi pertahanan kiri kekal menjadi miliknya pada masa depan.

Produk akademi Arsenal di Hale End itu harus ‘berterima kasih’ kepada masalah kecederaan dialami dua pemain tetap England iaitu Luke Shaw dan Ben Chilwell yang menyebabkan dia mendapat peluang dipanggil kali ini.

Lewis-Skelly cukup beruntung kerana boleh dikatakan sudah menikmati sesuatu yang sukar dibayangkan pada usia 18 tahun.

Musim ini sahaja menyaksikan dia membuat debut di Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selain kini turut memainkan peranan penting buat Arsenal.

Bukan itu sahaja, dia juga merakam gol pertamanya ketika menentang Manchester City dengan membuat gaya jaringan Erling Haaland.

Selain itu, Lewis-Skelly juga mampu berperanan sebagai pemain tengah No. 6 dan No. 8 disebabkan keupayaannya memahami serta melaksanakan strategi untuk menyesuaikan diri dengan cepat dalam pelbagai sistem permainan.

Dengan kombinasi teknik, kecerdasan taktikal, dan fleksibiliti, Lewis-Skelly mempunyai potensi besar untuk berkembang dan kekal relevan terhadap evolusi sesuatu taktikal bola sepak.

Satu kerugian yang cukup besar sekiranya pengurus Arsenal, Mikel Arteta gagal memastikan Lewis-Skelly kekal beraksi buat pasukannya untuk satu tempoh yang lama kerana pastinya kelab-kelab lain akan cuba memikatnya.

Situasi itu boleh berlaku sekiranya Arsenal terus gagal memenangi trofi dan mungkin menyaksikan episod lama kembali seperti terjadi kepada Ashley Cole yang ‘dicuri’ oleh Chelsea satu ketika dahulu.

Cole pernah dianggap sebagai permata penting buat Arsenal apabila menjadi sebahagian daripada skuad Invincibles sebelum membuat keputusan mengejut dengan menyertai Chelsea di bawah bimbingan Jose Mourinho pada 2006.

Disebabkan itu, Arsenal perlu memastikan aset bernilai mereka ini kekal di Stadium Emirates kerana Lewis-Skelly diramal mampu mempunyai prestasi yang lebih hebat daripada Cole jika terus diberi peluang untuk menyinar.

Secara keseluruhan, Lewis-Skelly telah membuat 26 penampilan dalam semua kejohanan buat Arsenal musim ini termasuk enam perlawanan UCL dan 14 aksi EPL yang turut menyaksikan dia dilayangkan dua kad merah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN