PETALING JAYA – Perompak sebuah kedai emas di Kota Damansara dekat sini, kelmarin, dikatakan melakukan rompakan dengan pantas sebelum melarikan pelbagai barang kemas bernilai RM2 juta sekelip mata tanpa disedari oleh peniaga berhampiran.
Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, kejadian pada pukul 5 petang itu berlaku ketika tiga pekerja dan seorang pelanggan berada di dalam premis tersebut.
Katanya, suspek bertopeng, berbaju jenis hoodie dan berkasut merah meninjau kedai emas itu empat jam sebelum kejadian.
“Suspek perhatikan kedai emas itu beberapa kali tetapi saya biarkan sahaja kerana tidak mengesyaki apa-apa.
“Dia asyik jalan ke hulu ke hilir dan masuk ke dalam kawasan kedai pada pukul 3 petang. Kedai emas itu tiada pengawal keselamatan sejak beberapa bulan lalu,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, seorang lagi saksi memberitahu dia cemas apabila perompak mengacukan pistol ke arahnya.
“Dia nampak saya berada bersebelahan kedai emas dan terus mengacukan pistol ke arah saya.
“Saya terus lari dan masuk ke dalam premis yang saya jaga untuk laporkan tentang kejadian itu kepada pihak pengurusan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang peniaga berdekatan berkata, kejadian itu berlaku begitu pantas dan alat penggera kecemasan hanya berbunyi selepas perompak itu keluar.
“Saya mula panik selepas dengar alat penggera berbunyi ketika itu, semua peniaga berdekatan kedai emas itu keluar dari premis masing-masing dan melihat keadaan tempat kejadian tersebut,” katanya.
Rata-rata peniaga berdekatan premis tersebut tidak sedar ketika perompak itu masuk ke dalam premis tersebut kerana didapati kejadian itu berlaku secara pantas.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menahan seorang suspek berusia 32 tahun pada pukul 10.15 malam di Bukit Beruntung, Hulu Selangor.
“Suspek bersenjatakan pistol melarikan tujuh dulang emas bernilai RM2 juta sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta yang menunggu di luar pasar raya.
“Kita turut menemui sejumlah barang kemas yang dilarikan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.














