PASIR PUTEH – Seorang remaja yang putus kaki kiri dan kematian ibu selepas dihempap muatan besi yang dibawa treler di persimpangan lampu isyarat Kampung Dalam Kemunting, di sini tiga
tahun lalu menerima pampasan lebih RM1 juta.
Muhammad Shahrul Rizal Mohd. Azizi, 15, menerima pampasan itu selepas memenangi saman kes civil yang difailkan terhadap syarikat yang mengendali besi tersebut dalam perbicaraan yang berlangsung selama lebih setahun di Mahkamah Sesyen Kota Bharu.
Nahas pada 14 Julai 2022 itu mengorbankan ibu tunggal, Yusni Hamid, 32, manakala anaknya yang berusia 12 tahun putus kaki kiri.
Muhammad Shahrul Rizal berkata, wang pampasan itu bukan tukaran kerana dia kehilangan ibu dan sebelah kakinya.
Katanya, tragedi itu sukar dipadam dalam ingatan kerana ibunya maut di depan mata selepas dihempap muatan besi.
“Saya masih ingat pengorbanan ibu membawa saya menaiki motosikal dari Kampung Gong Tinggi, Bukit Awang ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuat MyKad.
“Timbunan besi jatuh menghempap kami. Peristiwa ibu meninggal di depan mata masih segar dalam ingatan saya,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Petai di sini semalam.
Remaja itu memberitahu, wang pampasan itu diuruskan oleh pemegang amanah yang dilantik oleh syarikat guaman sehingga dia berusia 18 tahun.
Meskipun memperoleh RM1 juta, pelajar tingkatan tiga Program Pendidikan Khas Integrasi itu mengakui masih bersedih atas kematian ibunya, lebih-lebih apabila tiba bulan Ramadan.
“Biasanya saya dan dua lagi adik akan tunggu kepulangan ibu yang bekerja di Pulau Pinang untuk berbuka puasa. Bila Aidilfitri menjelma, memang sayu, sudah dua tahun kami beraya tanpa ibu,” katanya sayu.
Bercerita lanjut, remaja itu berkata, dia terpaksa mengengsot sebelum menerima bantuan kerusi roda daripada pertubuhan bukan kerajaan.
Ekoran kecederaan itu, Muhammad Shahrul Rizal tidak bersekolah selama 10 bulan kerana perlu menjalani rawatan susulan dan bertatih semula selepas beberapa bulan kakinya dipotong.
“Saya mampu berjalan semula dengan bantuan tongkat besi berharga RM130 sumbangan orang ramai. Alhamdulillah, kehidupan saya semakin baik dengan kaki palsu berharga RM50,000.
“Kaki itu mungkin akan ditukar menjelang usia 18 tahun bergantung kepada perubahan struktur hujung kaki,” katanya.
Tambahnya, walaupun digelar jutawan orang kurang upaya (OKU), wang ringgit tidak akan mampu menggantikan kasih sayang seperti seorang ibu.
Remaja itu nekad untuk membantu bapa saudaranya yang sentiasa ada ketika dia berada dalam kesusahan selain membantu golongan OKU miskin lain.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang ibu tunggal maut, manakala anak lelakinya putus kaki kiri selepas motosikal yang ditunggang mereka dihempap muatan besi dibawa sebuah treler dilaporkan terbalik.
Dalam kejadian pada pukul 9.05 pagi itu, dua beranak tersebut dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Gong Kala selepas selesai membuat MyKad.
Difahamkan, mangsa yang bekerja sebagai operator kilang di Pulau Pinang pulang ke kampung sempena Aidiladha untuk membawa anak sulung daripada tiga beradik itu ke JPN. -KOSMO! ONLINE















