SHAH ALAM – Pelbagai kaedah dilakukan peniaga untuk melariskan jualan dan berkongsi rezeki dengan pembeli pada bulan Ramadan kali ini.
Pemilik Nasi Pakistan No. 1 Batu Pahat, Azrul Hisyam menawarkan dua buah kereta jenis Toyota Camry kepada pelanggan yang membeli satu set Nasi Pakistan berharga RM55.
Katanya, cabutan bertuah itu dibuat bagi menghargai pelanggan yang sentiasa menyokong perniagaannya di Bazar Ramadan Galeria Shah Alam (SA) Sentral di sini.
“Pelanggan akan diberikan kupon untuk dimasukkan ke dalam kotak. Mereka perlu membeli sekurang-kurangnya satu set nasi Pakistan lamb shank berharga RM55.
“Saya akan membuat siaran langsung di media sosial pada pertengahan bulan ini dan hubungi pemenang sebaik sesi tamat. Pemenang diminta untuk hadir ke Galeria SA Sentral pada keesokan harinya untuk mengambil kereta,” katanya ketika ditemui semalam.
Azrul Hisyam berkata, dia menjual lebih 500 set nasi Pakistan setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini.
“Setakat ini, sebanyak tiga tan lamb shank terjual, bakinya tiga tan lagi untuk direbut pelanggan. Alhamdulillah, orang ramai membanjiri gerai seawal pukul 3 petang,” katanya.
Di Pontian, pemilik Zam Ayam Golek, Hairulizam Saat, 54, menawarkan motosikal Yamaha RXZ berharga RM25,000 kepada pelanggan yang membeli juadah itu atau berbuka puasa di Restoran Zam Tomyam dan Seafood serta kerepek.
“Pelanggan bertuah boleh membawa pulang Yamaha RXZ dengan pembelian ayam golek serendah RM27 di Bazar Ramadan Ayer Baloi atau berbuka puasa dengan pakej RM50 di restoran kami.
“Bagi pembelian kerepek perlu lebih RM30 di bazar Ramadan di tapak Pasar Malam Pontian,” katanya.
Jelasnya, harga ayam golek meningkat kepada RM27 tahun ini berbanding RM26 tahun lalu, namun dia masih mengekalkan ramuan asal gabungan 18 rempah meskipun harga barang mentah naik.
Dianggarkan 200 hingga 300 ekor ayam diperap setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan.
“Pengumuman cabutan bertuah akan dibuat di gerai jualan kerepek di Bazar Ramadan tapak Pasar Malam Pontian pada malam raya,” katanya.














