fbpx
DUN Sabah dijangka dibubarkan sebelum Oktober ini bagi memberi laluan kepada PRN-17 diadakan.

Mari kita lihat, parti mana yang kena?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA artikel ini ditulis, beberapa daerah kecil di Sabah sedang bergelut dengan bencana banjir yang menyebabkan lebih 4,000 penduduk dipindahkan.

Di sesetengah tempat pula, ada jalan raya utama yang terjejas selain runtuh, menyaksikan penduduk tidak dapat keluar bekerja dan murid terpaksa ponteng bersekolah.

Bencana banjir kali ini tertumpu kepada kawasan-kawasan pedalaman meliputi daerah Tenom, Sook, Keningau selain Membakut dan Beaufort. Ia berlaku hanya sebulan selepas daerah-daerah di utara dan timur Sabah seperti Kudat, Pitas, Kinabatangan dan Lahad Datu dilanda bencana sama.

Ironinya, suhu cuaca di Sabah memang sukar dijangka, seperti mana suhu politik Negeri Di Bawah Bayu yang sentiasa berubah-ubah dan penuh kejutan.

Menambahkan lagi gelora politik semasa apabila Sabah bakal membuka tirai Pilihan Raya Negeri (PRN) pertama di Malaysia sejak tertubuhnya Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Mengikut jangka hayat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ketika ini, ia akan dibubarkan paling lewat pada Oktober ini bagi memberi laluan kepada PRN ke-17 diadakan.

Dan bermula awal tahun ini, perang politik dan percaturan taktikal mula dimainkan oleh parti-parti utama termasuk dalam rencana penggabungan, pemilihan calon selain kawasan paling selamat untuk bertanding.

Parti Warisan pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal awal-awal lagi memberi isyarat bahawa mereka akan bertanding secara solo pada PRN kali ini.

Keterbukaan Warisan itu jelas memberi petanda awal mengenai kemungkinan parti-parti lain termasuk Barisan Nasional (BN) dan parti tempatan seperti STAR akan bertanding secara solo.

Jika ini berlaku, ujian besar bakal menanti parti pemerintah di peringkat negeri iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) dalam menyusun taktikal bagi memenangi 73 kerusi yang dipertandingkan.

Mungkin saja isu perebutan kawasan bakal menyaksikan parti-parti bersekutu di peringkat Persekutuan akan bertanding sesama sendiri di peringkat PRN-17. Dan harus diingat, situasi ini bukannya mustahil untuk berlaku dalam politik Sabah.

Dalam sejarah pembentukan Sabah sejak 16 September 1963, ada 15 individu paling berkuasa yang pernah memimpin negeri berkeluasan 73,631 kilometer persegi itu.

Kuasa itu dimulakan oleh Tun Fuad Stephens pada tahun 1963 dan kini dipegang oleh Datuk Seri Hajiji Noor.

Apa yang pasti, pertembungan banyak penjuru pada PRN-17 kali ini bukan sahaja menguji pengaruh parti dan calon, malah menjadi bukti kepada keterbukaan sebuah demokrasi.

Ia juga bakal menjawab persoalan sama ada kuasa, wang ringgit dan pengaruh masih relevan untuk memikat hati pengundi. Ataupun pengundi lebih bersedia memilih calon dari parti kerdil, tetapi berilmu dan berintegriti.

Hakikatnya, pemimpin yang baik itu adalah mereka yang sentiasa merasai penderitaan rakyat, lebih-lebih lagi bagi 4,000 mangsa banjir yang kini sedang diuji di bulan Ramadan.

Seperti mana kata Presiden pertama Indonesia, Pak Soekarno, “Janganlah kita lupa tujuan kita, bahawa para pemimpin itu sebenarnya berasal dari rakyat dan bukan berada di atas rakyat.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN