GUA MUSANG – Kira-kira 400 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di tiga buah kampung di Pos Balar di sini, terputus hubungan apabila jambatan besi yang menjadi penghubung utama untuk ke bandar Gua Musang runtuh dibadai arus deras Sungai Balar semalam.
Jambatan besi yang digunakan penduduk Kampung Barung, Kampung Ipes dan Kampung Tidag itu hanyut dan runtuh akibat paras air sungai yang naik mendadak ekoran hujan berterusan sejak petang kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Balar, Hanan Anjang berkata, penduduk Orang Asli yang tinggal di kawasan terbabit tidak dapat menghantar anak mereka ke Sekolah Kebangsaan (SK) Balar pada pagi semalam akibat jambatan besi yang terputus.
“Penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Balar memaklumkan bahawa air mula melimpah di jambatan itu kira-kira pukul 2 pagi kelmarin sebelum kami lihat jambatan sudah runtuh pada waktu pagi semalam.
“Jambatan terbabit dipercayai terputus kerana paras air yang tinggi dan deras susulan hujan yang berterusan,” ujarnya.
Hanan berkata, jambatan besi itu bukan sahaja penting kepada penduduk, tetapi juga para guru yang berulang-alik menggunakan motosikal untuk mengajar di SK Balar.
Katanya, kejadian itu disifatkan lebih buruk berbanding 2014 dan penduduk kini sentiasa berjaga-jaga sekiranya paras air semakin meningkat.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan dan Terengganu, Roslina Bun berkata, pihaknya sudah menerima aduan berkaitan kejadian terbabit daripada penduduk.
Katanya, Jakoa akan membuat siasatan tentang kerosakan yang berlaku sebelum memohon peruntukan untuk membina jambatan baharu dibuat.














