fbpx
AIN bersama rakan-rakan memulakan pendakian Gunung Datuk seawal pukul 5 pagi.

Enam kali tawan Gunung Datuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI peminat aktiviti mendaki atau hiking, ada satu kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata apabila berjaya melihat keindahan ciptaan Allah SWT dari atas sebuah gunung.

Bagi Nurulain Najwa Hamdan atau lebih mesra disapa Ain, minatnya terhadap aktiviti pendakian juga timbul selepas kerap melihat gambar pemandangan yang dikongsikan oleh rakan-rakan ketika berjaya menamatkan pendakian gunung.

Hatinya kemudian tertanya-tanya, bagaimana agaknya proses mendaki sebuah gunung?

Berkongsi dengan CitaRasa, anak kelahiran Selangor itu berkata, baru-baru ini dia berjaya mendaki Gunung Datuk yang terletak di Negeri Sembilan buat kali keenam.

Begitupun, minat terhadap pelbagai aktiviti luar (outdoor) sudah bermula sejak kecil, memandangkan kedua-dua ibu bapanya sering membawa mereka sekeluarga bercuti ke tempat-tempat seperti air terjun dan mengikuti aktiviti perkhemahan.

“Gunung Datuk ini merupakan salah satu trek kegemaran saya. Antara faktor yang menjadikan saya menyukainya adalah kerana lokasi gunung ini yang terletak tidak jauh dari Kuala Lumpur.

“Selain itu, di setiap laluannya juga terdapat pelbagai elemen semula jadi seperti akar pokok dan bahagian curam.

“Biarpun mencabar, tetapi pendakian ini boleh diselesaikan dalam tempoh sehari dan sesuai untuk mereka yang mahu membina stamina,” katanya.

MELIHAT keindahan di puncak gunung menjadi kepuasan buat para pendaki.

Bagi pendakiannya baru-baru ini, Ain memulakan aktiviti itu seawal pukul 5 pagi dengan bayaran permit berharga RM5.

Pendakian bermula dengan Ain perlu menelusuri laluan mencabar yang dipenuhi akar pokok dan batu-batu besar.

Selepas 15 minit mendaki, laluan semakin curam dan memerlukan banyak tenaga.

“Pada kali ini juga, saya disengat lebah dan terasa sakit yang mencucuk saat mendaki.

“Walaupun begitu, perjalanan perlu diteruskan dan saya berhenti seketika sekitar pukul 6.30 pagi untuk menunaikan solat subuh.

“Pemandangan pada waktu itu juga sangat cantik bersama tiupan angin sejuk dan segar yang sedikit sebanyak menghilangkan lelah pendakian,” ujarnya.

Ain yang mendaki bersama rakan-rakannya turut berkongsi bahawa bagi pendakian kali keenam itu, mereka semua lebih santai dan menghabiskan masa selama dua jam di puncak Gunung Datuk.

AIN perlu menelusuri laluan berbatu, curam dan berakar untuk sampai ke puncak Gunung Datuk.

“Ketika menuruni gunung itu terasa lebih pantas berbanding mendaki menuju ke puncak, tetapi kami semua tetap perlu berhati-hati memandangkan trek berbatu dan licin,” katanya.

Berkongsi pendapatnya tentang aktiviti hiking, Ain memberitahu, ia sedikit sebanyak membantu dia lebih mengenal diri sendiri.

“Mendaki ini diibaratkan seperti perjalanan hidup kita.

“Jika mahukan sesuatu yang indah, kita kena banyak bersabar dan berusaha. Hiking tidak mudah, kadang trek curam, kadang cuaca tidak menentu, ada masa kita penat dan hampir putus asa, tetapi kita tidak boleh terburu-buru.

“Kalau kita terlalu laju, kita akan cepat penat. Kalau kita terlalu lambat, kita mungkin ketinggalan. Jadi, kita perlu ikut pace sendiri dan nikmati  perjalanan” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN