SEREMBAN – Amalan selawat 10,000 kali setiap hari menjadi ‘ubat’ bagi penyanyi popular era 90-an, Sheqal yang diserang angin ahmar sebanyak empat kali sehingga lumpuh sebelah kanan.
Sheqal atau nama sebenarnya, Datuk Shahrim Sallehudin, 60, berkata, walaupun masih bergantung kepada kerusi roda, beliau berasa lebih tenang dengan berselawat biarpun kerap mengah.
“Ubat saya hanya selawat 10,000 kali setiap hari, cuma ada rasa mengah. Sebelum ini saya tidak boleh berjalan.
“Saya menjalani rawatan susulan di Klinik Kesihatan Ampangan dan Hospital Tuanku Ja’afar dua bulan sekali. Sekarang keadaan buah pinggang saya makin teruk (tahap empat) dan doktor beritahu kemungkinan perlu dialisis,” katanya di rumah sewanya di Taman Tuanku Jaafar di sini semalam.
Terdahulu, penyanyi dari Raub itu menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal yang menyampaikan sumbangan wang RM5,000.
Penyanyi lagu Cinta Nusantara itu terharu dengan keprihatinan kerajaan Pahang yang bukan sahaja berkongsi rezeki, tetapi memberi semangat kepadanya. Sheqal diserang angin ahmar ketika pandemik Covid-19 pada 2020 dengan kejadian terakhir pada 2022.
“Kali pertama diserang angin ahmar tidak begitu serius hanya ‘mild strok’, tapi kali keempat saya terbaring,” katanya yang dikurniakan anak berusia 21 dan 20 tahun hasil perkahwinan dengan Normah Mohd. Yusoff, 58.
Syeqal berkata, beliau mahu menghabiskan baki hidupnya dengan berkarya sebagai penulis.
“Sebelum ini orang kenal saya sebagai penyanyi, sekarang saya mahu dikenali sebagai penulis. Sebelum meninggal, saya nak hasilkan buku syair keagamaan. Sekarang saya sedang mencari penerbit,” katanya.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk pulang ke kampungnya bersama ibu dan adik-beradik lain di Tanjung Putus, Raub selepas merantau sejak berusia 19 tahun.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 11411941000043964 atas nama Shaharim Sallehudin.














