Diam tak diam sudah seminggu umat Islam menunaikan ibadah puasa Ramadan yang penuh rahmat dan mempunyai 1,001 keberkatan, selain dosa diampunkan, pahala amal digandakan serta dikurniakan lailatul qadar, malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan.
Sesungguhnya puasa adalah satu mujahadah atau perjuangan melawan dan mengawal nafsu daripada menguasai diri bukan sahaja terhadap makanan, malahan juga segala kemahuan dunia termasuk wanita, harta dan
lain-lain.
Terlalu banyak kelebihan, keistimewaan, hikmah dan manfaat bagi orang-orang melaksanakan ibadah puasa kepada individu, keluarga dan masyarakat sama ada daripada aspek rohani, jasmani, emosi serta intelektual.
Sepanjang tempoh ini, alhamdulillah surau dan masjid di seluruh negara masih dipenuhi dengan jemaah yang ingin mendapatkan pahala berlipat kali ganda dalam ‘menghidupkan’ malam-malam Ramadan.
Kalau boleh, permulaan yang kita lakukan sepanjang Ramadan ini seperti pengimarahan masjid, solat tahajjud, membaca al-Quran, sedekah mahupun zikir perlu diteruskan hingga ke penghujungnya.
Terasa amat rugi sekali jika surau dan masjid hanya dipenuhi jemaah pada awal Ramadan dan sepi di penghujungnya kerana perlu diingat, Ramadan adalah antara bulan melakukan amal soleh dan ibadah yang utama sebagai jalan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT demi mencapai ketakwaan dan reda Ilahi.
Ibarat seseorang yang memasuki perlumbaan maraton atau F1, biasanya pada fasa-fasa akhir mereka akan menggunakan segala tenaga untuk melakukan pecutan akhir demi mengejar impian menjadi juara.
Tidak pernah berlaku dalam sejarah seorang pelari maraton atau pemandu F1 yang memecut laju di peringkat awal, tetapi pada penghujung perlumbaan terus memperlahankan langkah atau pemanduan.
Sebaliknya semakin hampir ke garisan penamat, maka semakin yakin kaki mengatur langkah kerana perkara tersebut akan menentukan menang atau kalahnya seseorang.
Begitu juga dengan Ramadan, momentum yang baik pada peringkat awalnya kalau kita hentikan boleh menyebabkan tarbiah di bulan mulia ini terbantut di pertengahan jalan.
Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan fasa terakhir Ramadan iaitu malam 10 terakhirnya membawa 1,001 cabaran dan rintangan kerana pada ketika itulah ibu bapa sibuk dengan persiapan menyambut kedatangan Syawal.
Dalam hal ini, halangan dan cabaran yang datang mestilah diuruskan dengan baik dan penuh hikmah. Sesibuk mana pun kita dengan urusan dunia, jangan lupa untuk ‘mengisi’ bekal bagi mengadap Ilahi bila tiba waktunya nanti.
Jika tidak dapat menunaikan solat sunat tarawih di surau atau masjid, sebaiknya melakukan ibadah yang hanya ada pada bulan Ramadan di rumah bersama keluarga. Jika kita tidak boleh buat semua, jangan tinggal semua.
Semoga ketika berada di fasa akhir Ramadan akan membuatkan kita terus istiqamah dengan amalan kebaikan dan mengejar ganjaran pahala berlipat ganda daripada Allah.














