fbpx
Nor'Ain menunjukkan biskut raya yang dijualnya di Felda Sungai Retang, Jerantut kelmarin.

Naik harga biskut raya elak rugi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIPIS – Kenaikan kos bahan mentah ketika ini menyebabkan para peniaga biskut raya tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga jualan bagi mengelak menanggung kerugian.

Seorang peniaga di Bandar Lama Lipis, Rosnah Isa, 50, berkata, dia terpaksa menaikkan harga biskut raya pada tahun ini sekitar RM1 hingga RM2 sebalang.

“Kenaikan kos bahan mentah memberi beban kepada peniaga seperti saya untuk memperoleh keuntungan. Dalam masa sama, kami juga perlu menawarkan harga yang berpatutan kepada pengguna.

“Rata-rata pelanggan saya memahami situasi kenaikan kos bahan mentah di pasaran dan mereka juga sudah menjangka berlaku kenaikan harga biskut raya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Bagi pengusaha biskut raya dari Felda Sungai Retang, Je­rantut, Nor’Ain Md Zain, 41, dia akan menutup tempahan biskut raya menjelang 10 Ramadan kerana bimbang tidak mampu siapkan semua permintaan daripada para pelanggan.

“Sebelum ini, harga biskut raya yang dijual adalah RM23 sebalang, namun apabila berlaku kenaikan barangan mentah, saya perlu menaikkan harga iaitu purata RM25 sebalang untuk tujuh jenis biskut seperti almond London, mazola, semperit susu dan tart nenas.

“Alhamdulillah walaupun berlaku kenaikan harga, saya tetap bersyukur kerana permintaan biskut raya mendapat sambutan yang sangat menggalakkan terutama daripada pelanggan tetap.

Mereka membuat tempahan biskut raya lebih awal untuk dihidangkan kepada tetamu pada Aidilfitri nanti,” katanya.

Bagi pengusaha biskut raya dari Kampung Sungai Karang Darat, Kuantan, Dalila Sari Wahab, 37, kenaikan harga barang mentah hampir setiap tahun tidak menghalangnya daripada menjual pada harga berpatutan dan masih sama seperti tahun lalu iaitu RM25 sebalang untuk 20 jenis biskut raya.

“Cuma sebagai penjual biskut raya bermusim, ini adalah cara untuk saya menambah pendapatan. Oleh itu saya perlu membuat kelainan seperti ada pertambahan kuih baharu dalam jualan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN