fbpx
NOR HASMIDAH menunjukkan gambar Nurasyraf Afif ketika ditemui media di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi semalam.

Khidmat terakhir anak harapan keluarga sebelum maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA TINGGI – Seorang ibu terpaksa menerima hakikat kehila­ngan seorang anak lelaki yang merupakan harapan keluarga selepas mangsa maut dalam kemalangan membabitkan dua buat kereta di Batu 4, Jalan Kota Tinggi di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu berlaku ketika Nurasyraf Afif Abdul Ghafar, 20, yang merupakan pelajar Kolej Vokasional Kota Tinggi dalam perjalanan ke kolej berkenaan dengan memandu Pero­dua Kancil.

Turut maut dalam kejadian itu ialah penumpang kereta Nissan Almera, Zainab Abdullah, 68.

Nor Hasmidah Hassim, 50 yang merupakan ibu Nurasyraf Afif berkata, arwah merupakan anak keempat daripada lima beradik dan merupakan seorang yang sangat rajin membantu keluarga.

Katanya, sehari sebelum kejadian, arwah juga sempat membantu bapanya menyiapkan tapak untuk berniaga di bazar Kluang sebelum pulang kira-kira pukul 1 pagi.

“Selepas balik, ayahnya sempat masak untuk mereka makan bersama. Pagi tadi sekitar pukul 5, kami kejutkan dia untuk bersahur tetapi arwah tak mahu.

“Biasa sebelum saya ke sekolah, saya memang akan kejut dan dia akan bangun sendiri. Anak beritahu arwah gerak ke sekolah kira-kira pukul 7.30.

“Dia adalah anak harapan, dia tolong ayahnya berniaga. Ayah­nya berniaga bazar di Kota Tinggi, Kulai dan Kluang tahun ini,” katanya ketika ditemui media di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi semalam.

Guru matematik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tenggara itu berkata, anaknya itu yang kini dalam semester akhir memang berulang-alik ke kolej menaiki motosikal sebelum menggunakan kereta milik datuknya.

Tambah beliau, jenazah anaknya itu akan dibawa pulang ke rumah datuknya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Semenchu.

Dalam pada itu, adik ipar kepada Allahyarham Zainab, Junaidah Mohtar, 64 berkata, kali terakhir dia berjumpa arwah ialah ketika majlis bacaan Yasin seminggu sebelum Ramadan di rumahnya di Mersing.

Katanya, ketika itu arwah sempat meminta maaf kepadanya dan memberitahu Aidilfitri kali ini mungkin hari raya terakhir bagi­nya.

“Saya dimaklumkan arwah dalam perjalanan pulang lepas hantar cucunya yang baru masuk ke Kolej Vokasional Kota Tinggi. Setiap hari dia dan suami akan hantar dan jemput cucunya itu pulang,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kenderaan masuk laluan bertentangan disyaki menjadi punca kemalangan maut melibatkan Perodua Kancil dan Nissan Almera yang meragut dua nyawa di Kilometer 10.3, Jalan Kota Tinggi-Kluang berhampiran Batu 4 pagi semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah Perodua Kancil yang dipandu seorang pelajar kolej ber­usia 20 tahun memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Nissan Al­mera yang dinaiki pasangan warga emas berusia 71 dan 68 tahun.

“Akibat perlanggaran itu, pemandu Perodua Kancil dan penumpang hadapan Nissan Al­mera yang juga seorang suri rumah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN