TEKNOLOGI telah mengubah pelbagai aspek kehidupan seharian termasuk cara manusia mengamalkan agama.
Semua panduan dan maklumat tentang agama kini boleh diperoleh dari hujung jari menerusi laman web atau aplikasi telefon pintar.
Salah satu aplikasi yang menjadi pilihan adalah Muslim Pro iaitu sebuah aplikasi dengan ciri-ciri komprehensif untuk keperluan masyarakat Islam.
Berdasarkan ulasan daripada portal muslimdirect.co.uk, Muslim Pro telah muncul sebagai aplikasi pilihan dalam kalangan umat Islam kerana menampilkan pelbagai ciri bagi memudahkan amalan keagamaan dan memupuk pertumbuhan rohani.
“Salah satu ciri menonjolnya adalah ketepatan waktu solat yang disesuaikan dengan lokasi pengguna.
“Ia bagi memastikan umat Islam dapat menunaikan solat harian mereka pada waktu yang betul, tidak kira di mana mereka berada.
“Kemudahan menerima pemberitahuan tepat pada masanya untuk setiap solat telah dipuji secara meluas oleh pengguna.
“Ia dapat membantu pengguna mengingati waktu solat di tengah-tengah jadual sibuk mereka,” kongsinya.
Tambahnya, Muslim Pro menawarkan ciri kompas kiblat bagi membolehkan pengguna menentukan arah Kaabah di Mekah untuk menunaikan solat.
Ciri ini amat membantu orang Islam yang melancong ke tempat tidak dikenali atau tinggal di negara majoriti bukan Islam.
Aplikasi ini dapat membantu mengekalkan orientasi mereka semasa solat.
Satu lagi aspek yang menjadi pilihan pengguna Muslim Pro adalah koleksi sumber al-Quran yang luas.
Ini termasuk terjemahan dalam pelbagai bahasa, bacaan audio oleh Qari terkenal dan tafsir ayat-ayat al-Quran.
Aplikasi yang diwujudkan pada 2009 itu sudah diterjemahkan ke dalam 22 bahasa dengan lebih daripada 60 terjemahan al-Quran tersedia.
“Ciri ini membolehkan pengguna memperdalamkan pemahaman mereka tentang al-Quran dan mengukuhkan hubungan rohani dengan kitab suci itu.
“Kemasukan ciri tambahan seperti petikan ayat-ayat Islamik harian, ciri khusus Ramadan dan kalendar Hijrah yang komprehensif meningkatkan lagi utiliti aplikasi,” ujarnya.
Ciri khusus Ramadan pula meliputi panduan ibadah, zikir dan tip berpuasa yang lancar.
Misalnya, pengambilan makanan sunah dan susu untuk kekal cergas ketika berpuasa.
Meskipun menjadi pilihan pengguna, namun Muslim Pro turut mempunyai beberapa masalah yang dilaporkan oleh pengguna dalam ruangan komen aplikasi.
Sesetengah pengguna telah melaporkan ketidaktepatan dalam waktu solat, terutamanya di kawasan yang mempunyai ciri geografi kompleks atau waktu solat berbeza-beza.
“Walaupun percanggahan ini agak jarang berlaku, ia boleh mengecewakan pengguna yang sangat bergantung pada Muslim Pro untuk solat harian mereka.
“Selain itu, versi percuma aplikasi Muslim Pro mengandungi iklan sehingga mengganggu pengguna,” tulisnya lagi.
Kesimpulannya, aplikasi Muslim Pro telah mendapat pujian meluas untuk ciri komprehensifnya.
Pujian itu merangkumi antara muka yang mesra pengguna dan komitmen untuk memenuhi keperluan masyarakat Islam.
Waktu solat yang tepat, sumber al-Quran luas dan ciri praktikalnya telah menjadikan aplikasi ini amat diperlukan oleh berjuta-juta umat Islam di seluruh dunia.
Walaupun ketidaktepatan dan iklan sekali-sekala mungkin menimbulkan cabaran kecil, namun faedah keseluruhan aplikasi ini mengatasi kelemahannya.
Memandangkan teknologi terus memainkan peranan penting dalam amalan keagamaan, Muslim Pro menonjol sebagai salah satu aplikasi yang dapat membantu umat Islam menavigasi kepercayaan mereka secara era digital.














