NASKHAH berkisar seorang pekerja seks yang berpeluang bertukar gaya hidup dalam tempoh seminggu, Anora dijulang sebagai Filem Terbaik Anugerah Akademi dalam satu acara yang berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat.
Filem yang hanya menggunakan bajet RM26.7 juta itu turut mengungguli empat lagi kategori termasuk Pengarah Terbaik menerusi Sean Baker.
Penerbitnya, Alex Coco berkata bersama peruntukan kecil sebanyak AS$6 juta (RM26.8 juta) dibantu 40 kru pihaknya berjaya merealisasikan sebuah filem yang bagus berlatarkan New York City.
“Filem ini adalah untuk anda semua. Kami mengerjakan filem ini secara independen. Mohon kalian (penerbit) terus menghasilkan lagi produk.
“Kita memerlukan lebih banyak naskhah yang bagus. Trofi emas ini adalah buktinya,” katanya ketika memberikan ucapan selepas menerima Oscar.
Samantha Quan yang juga salah seorang produser mengimbas semula kerja keras seluruh pasukan sepanjang penggambaran serta usaha membawa Anora ke festival sehingga musim anugerah.
“Penerbit muda perlu berani membuat filem independen serta menghasilkan cerita yang tulus.
“Ini adalah perjalanan yang luar biasa dan nyaris tidak mungkin terjadi. Kami menerbitkan Anora dengan wang yang sangat sedikit, tetapi dibikin sepenuh hati.
“Untuk para pemimpi dan pembuat filem muda di luar sana, angkat kisah yang ingin kalian ceritakan, angkat kisah yang membuat kalian tergerak. Saya berjanji kalian tidak akan menyesal,” katanya.
Pada majlis pengiktirafan terhadap karyawan filem tumpuan dunia itu, Anora dicalonkan dalam enam kategori.
Selain Filem dan Pengarah Terbaik, mereka turut memenangi Pelakon Wanita Terbaik menerusi Mikey Madison, 25, serta Lakon Layar Asli Terbaik dan Suntingan Terbaik.
Anora berkisar percintaan antara wanita kelas bawahan yang juga pekerja seks dengan anak lelaki jutawan dari Rusia, di mana hubungan mereka diuji hebat apabila mendapat tentangan keluarga.
Sementara itu, trofi Pelakon Lelaki Terbaik diraih Adrien Brody yang menyerlah dalam filem epik period drama, The Brutalist sekali gus menjadi Oscar keduanya selepas The Pianist (2002).
“Terima kasih Tuhan untuk ini. Izinkan saya mulai dengan mengucapkan terima kasih atas curahan cinta yang luar biasa saya terima. Saya berasa sangat bertuah.
“Lakonan adalah profesion yang sangat rapuh. Terlihat glamor, tetapi satu hal yang saya peroleh adalah mendapatkan perspektif bahawa di mana pun anda berada, semuanya boleh hilang begitu saja,” katanya.
Karya sentuhan dan diterbitkan Brady Corbet itu turut membawa pulang dua kemenangan lain iaitu Skir Terbaik serta Sinematografi Terbaik.
Pada edisi kali inu, Kieran Culkin turut menyerlah apabila membawa piala Oscar sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik berkat penjiwaannya dalam A Real Pain.
Dikendalikan Conan O’Brian, majlis anugerah terbabit juga menyelitkan segmen tribute kepada mendiang Gene Hackman juga pernah menjulang empat trofi Oscar.
Pemenang Oscar dipilih daripada kira-kira 11,000 pelakon, penerbit, pengarah dan penggiat filem yang membentuk Akademi Seni dan Sains Filem. – KOSMO! ONLINE
Senarai pemenang Anugerah Akademi 2025:
Filem Terbaik: Anora
Pelakon Lelaki Terbaik: Adrien Brody (The Brutalist)
Pelakon Wanita Terbaik: Mikey Madison (Anora)
Pengarah Terbaik: Sean Baker (Anora)
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Kieran Culkin (A Real Pain)
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Zoe Saldaña (Emilia Pérez)
Lakon Layar Asal Terbaik: Anora
Lakon Layar Adaptasi Terbaik: Conclave
Filem Animasi Terbaik: Flow
Filem Pendek Animasi Terbaik: In the Shadow of the Cypress
Filem Antarabangsa Terbaik: I’m Still Here (Brazil)
Filem Dokumentari Terbaik: No Other Land
Filem Dokumentari Pendek Terbaik: The Only Girl in the Orchestra
Skor Asal Terbaik: The Brutalist
Lagu Asal Terbaik: El Mal (Emilia Pérez)
Bunyi Terbaik: Dune: Part Two
Reka Bentuk Produksi Terbaik: Wicked
Filem Pendek Aksi Langsung Terbaik: I’m Not a Robot
Sinematografi Terbaik: The Brutalist
Solekan dan Dandanan Rambut Terbaik: The Substance
Reka Bentuk Kostum Terbaik: Wicked
Kesan Visual Terbaik: Dune: Part Two
Penyuntingan Filem Terbaik: Anora