fbpx
Antara individu yang berada di KLIA disyaki untuk menawarkan perkhidmatan penghantaran kepada penumpang terutama dalam kalangan warga asing. – FAIZ ALIF ZUBIR

Caj ulat teksi RM300 dari KLIA ke Subang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan ada ulat teksi warga asing yang mengambil kesempatan dengan mengenakan caj sehingga RM300 bagi perjalanan antara KLIA ke Subang, Selangor.

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, ulat teksi yang turut didalangi warga tempatan itu turut menyasarkan pelancong asing yang tidak mempunyai aplikasi e-hailing bagi menggunakan perkhidmatan mereka.

“Sebenarnya kumpulan itu mengenakan harga lebih tinggi berbanding perkhidmatan sah seperti teksi lapangan terbang dan e-hailing.

“Ulat teksi biasanya mengenakan caj penghantaran tinggi sekitar RM80 hingga RM150 ke ibu negara berbanding teksi biasa iaitu sekitar RM65 hingga RM80 sahaja.

“Ada juga kes dilaporkan di mana ulat teksi ini mengenakan caj sehingga RM300 bagi perjalanan antara KLIA ke Subang, Selangor,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Azrin berkata, beberapa modus operandi turut dilakukan kumpulan ulat teksi itu bagi mengelakkan diri mereka dikesan pihak berkuasa semasa menawarkan perkhidmatan penghantaran itu.

“Pengawasan anggota JPJ sentiasa dibuat di KLIA di mana ada tangkapan dibuat menunjukkan ulat teksi itu menghantar penumpang secara tidak sah di negara ini.

“Jadi, ulat teksi ini akan meletakkan kereta di kawasan jauh seperti parkir bagi mengelakkan diri mereka dikesan pihak berkuasa seterusnya mencari pelanggan di balai ketibaan,” katanya.

Jelas Azrin, bagi memastikan kegiatan ulat teksi di KLIA dan KLIA2 tidak terus ‘membiak’, pihaknya akan terus menjalakan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan menggunakan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

“Sebenarnya, setiap hari ada pemantauan dan risikan, tindakan ulat teksi itu berada dalam radar JPJ memandangkan pengawasan dibuat 24 jam sehari.

“JPJ memandang serius kegiatan bersifat pentingkan diri dengan mengaut keuntungan secara haram dan akan bertindak tegas bagi membendung kegiatan itu di KLIA,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN