Pengumuman Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 telah menerima reaksi pelbagai dalam sektor ekonomi.
Perintah gaji minimum yang berkuat kuasa pada bulan ini mempunyai implikasi ke arah sektor pendidikan tinggi, di mana gaji minimum baharu dan gaji baharu graduan akan disempitkan lagi.
Sejak sekian lama, pendidikan dilihat sebagai pintu masuk ke dalam bidang kerjaya, namun trend terkini di Malaysia telah menunjukkan penurunan.
Seperti yang dilaporkan dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, seramai 10,160 pelajar (2.6 peratus daripada calon berdaftar) tidak menduduki peperiksaan tersebut.
Selain itu, statistik menunjukkan bahawa kadar kemasukan ke universiti di Malaysia telah menurun, dengan hanya 42.57 peratus daripada pelajar yang layak dilaporkan menyambung pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.
Jumlah itu nyata lebih rendah berbanding purata global iaitu 51.98 peratus pada 2020, dan lebih rendah berbanding negara-negara lain seperti Singapura (93 peratus) dan Amerika Syarikat (88 peratus).
Keputusan kerajaan Malaysia untuk menaikkan gaji minimum telah mencetuskan perdebatan mengenai keperluan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Lepasan SPM yang kini mampu menjana pendapatan agak lumayan tanpa kelayakan pengajian tinggi menyebabkan sesetengah pihak mempersoalkan tindakan mengejar segulung ijazah.
Biarpun dengan keputusan kerajaan menaikkan kadar gaji minimum, namun pendidikan peringkat tinggi masih kekal sebagai aspek penting untuk kestabilan kewangan jangka panjang dan kenaikan pangkat dalam kerjaya.

Kenaikan kadar gaji minimum boleh memberi kelegaan pantas, namun mereka yang mempunyai ijazah sarjana muda mampu memperoleh pendapatan seumur hidup jauh lebih tinggi bersama faedah-faedah tambahan.
Gaji peringkat permulaan bagi graduan ijazah sarjana muda mencecah antara RM2,000 dan RM3,000 sebulan, bergantung kepada bidang.
Jumlah tersebut lebih tinggi berbanding lepasan SPM yang memperoleh antara RM1,700 hingga RM2,000 sebulan.
Dari masa ke masa, graduan universiti akan mendapat manfaat lain seperti kenaikan gaji dan kemajuan dalam kerjaya.
Sementara pekerja bergaji minimum berdepan isu gaji dan pembangunan profesional yang terbantut.
Berdasarkan laporan Forum Kemahiran Masa Depan Ekonomi Dunia (WEF) 2030, terdapat minat yang jelas ke arah kecerdasan buatan (AI) dan celik digital.
Justeru, pekerja bergaji minimum terdedah kepada automasi dan kemelesetan ekonomi, sekali gus menyebabkan golongan pekerja tidak mahir berisiko untuk kehilangan tempat kerja dalam jangka masa panjang.
Dalam dunia yang kian maju, pembangunan kemahiran kemanusiaan seperti kepimpinan, daya tahan, kerjasama dan kesungguhan untuk terus belajar kian meningkat sebagai keupayaan penting.
Universiti menyediakan peluang untuk perkembangan kemahiran sedemikian, bahkan satu kajian terbaharu oleh Universiti Oxford menekankan pembentukan diri pelajar supaya bertanggungjawab ke atas pembelajaran, sekali gus dapat memperbaiki kualiti hidup.
Ketika masyarakat mengejar kelayakan atas kertas, penting untuk institusi pengajian tinggi menilai statistik ini.
Ia bagi menggerakkan strategi mereka agar kekal berdaya saing dan relevan terhadap keperluan tenaga kerja serta industri masa hadapan, demi memastikan kebolehpasaran graduan.














