KENYATAAN yang dikeluarkan oleh pemilik Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar memberikan kelegaan apabila menjamin pasukan itu bakal terus bersaing dalam saingan Liga Malaysia musim depan biarpun mereka masih dihimpit masalah kewangan.
Sejarah bola sepak Kedah bukan biasa-biasa, aura penyokong dan Stadium Darul Aman itu sendiri menjadikan pasukan itu perlu terus kekal dalam peta bola sepak Malaysia.
Kedah perlu belajar daripada kegagalan Kelantan The Red Warriors yang kini sudah lenyap biarpun satu ketika pernah menjadi kuasa besar Liga Malaysia, namun tadbir urus yang mungkin silap menyebabkan peminat terpaksa menanggung ‘kerinduan’.
Biarpun masih terhutang tunggakan gaji yang tidak sedikit jumlahnya, Mohd. Daud masih optimis pasukan itu mampu untuk terus bersaing pada musim depan, malah kecekalan pemain KDA FC wajar untuk dijadikan contoh.
Walaupun melalui sebahagian besar musim tanpa sumber pendapatan, KDA FC masih mampu untuk meraih enam kemenangan untuk mendudukan tangga ke-10 daripada 13 pasukan bertanding, malah mereka mencatat kemenangan dalam dua aksi Liga Super terakhir.
Lebih membanggakan, KDA turut mara ke pentas separuh akhir Piala FA serta Piala Cabaran sekali gus membuktikan semangat para pemain masih ada dan teramatlah rugi andai ia disia-siakan dengan membubarkan pasukan itu.
Bagaimanapun, satu perkara yang perlu diberikan perhatian mengenai luahan Mohd. Daud adalah mengenai syarat lesen untuk saingan musim depan, apabila peraturan mewajibkan kelab membentuk pasukan pelapis di bawah umur 23 (B-23) selain skuad Piala Presiden dan Piala Belia agak membebankan.
Sekali imbas, kenyataan itu mungkin dianggap sebagai mementingkan diri kerana ia dibuat tanpa memikirkan soal pembangunan dan tanggungjawab melahirkan bakat baharu, tetapi hakikat bahawa kantung mengecut perlu disedari semua pihak.
Namun, secara harfiahnya, pembentukan dua atau tiga pasukan pelapis ini sebenarnya terlalu membebankan apabila realitinya ia tidak mampu untuk membantu menjana pendapatan kepada kelab.
Barisan kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu memikirkan satu solusi yang berbeza, misalnya meletakkan tanggungjawab pembangunan itu kepada persatuan negeri yang mengendalikan pasukan bawah umur.
Matlamat utama seharusnya adalah memastikan Liga M terus segar serta gah, semua kelab dapat bersaing tanpa sebarang isu gaji yang tidak dibayar dan ia menjadi satu destinasi impian untuk semua pemain bola sepak.
Jika terlalu sibuk membangunkan bakat baharu, tetapi mengabaikan kelangsungan skuad induk, ke mana pemain muda itu mahu disalurkan sedangkan survival pasukan utama pun tidak terjamin.
Fokus utama haruslah memastikan semua skuad utama lebih ampuh dari aspek aliran tunai demi memastikan pemain mampu beraksi sepenuh jiwa tanpa memikirkan beras, gula, kopi dan susu di rumah yang sering terputus.














