fbpx
WARNA rich brown, burgundy dan teal blue dikenal pasti sebagai warna yang paling dicari orang.

Antara ‘warna trending’ dan ‘warna awam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MINGGU lalu, tanda tanya lagu mana yang menjuarai Anugerah Juara Lagu (AJL) 39 sudah pun terjawab apabila dimenangi Hening Rindu dendangan Marsha Milan, macam mana pula dengan ‘juara warna’ bagi Aidilfitri tahun ini?

Penulis tahu masih terlalu awal berbicara tentang baju raya, tetapi apa yang terlihat di media sosial seperti TikTok bagai sudah tidak terbendung.

Kalau dahulu, orang beli persiapan raya sebelum Ramadan alasannya tak mahu letih dan bersesak di kedai pada bulan puasa, tapi era sekarang lebih kepada sindrom FOMO ‘Fear of Missing Out’ iaitu takut terlepas atau ketinggalan perkara yang sedang trending.

Penyudahnya ramailah yang ‘terbeli’ baju raya di hujung jari awal kerana takut kehabisan warna idaman ramai.

Kalau tahun lalu dijuarai brick orange atau oren bata, tahun ini, calon-calon ‘juara’ sudah boleh dilihat berdasarkan kehangatannya di ‘gerai-gerai maya’ di TikTok. Warna rich brown, burgundy dan teal blue dikenal pasti sebagai warna yang paling dicari orang.

Banyak warna itu yang sudah habis dan sering ditanya di dalam live para peniaga.

Kalau dalam koleksi peniaga tiada warna itu, mereka akan menyebut, misalnya warna maroon diyakinkan burgundy dan warna turqoise dianggap teal blue.

Penulis kurang pastilah punca warna-warna ini jadi hangat, tetapi berkemungkinan sebab digayakan oleh personaliti popular barangkali. Misalnya Fattah Amin tampil dengan burgundy bersama Amira Othman, manakala Jojo Johan Ghazali menggayakan rich brown.

Teal blue tak pasti dari mana punca popularitinya sehingga Shukri Yahaya pun turut menggayakannya dalam penampilan terbaharu di pentas.

Antara ketiga-tiga warna, yang mana satu juaranya hanya akan diketahui menjelang Syawal nanti atau mungkinkah ada warna ‘underdog’ yang tiba-tiba memintas? Wallahua’alam.

Bercakap tentang warna trending, penulis teringat pula kata-kata seorang rakan semasa kami makan tengah hari baru-baru ini. Hendak tergelak pun ada.

“Saya seriklah nak pakai warna trending. Tahun lepas, saya beli warna brick orange tapi pagi raya saya rasa macam saya seorang sahaja pakai.

“Memang ramai yang beli tapi masing-masing mengelak tersama dengan orang pada 1 Syawal. Kali ini saya nekad tak nak beli apapun warna yang trending.”

Dalam kalangan netizen macam-macam ragam boleh dibaca tentang warna trending ini.

Ada yang kecewa mungkin kerana kehabisan warna trending yang diingini atau sememangnya pejuang warna-warna lain menyedapkan hati dengan menganggap warna trending tidak lagi istimewa kerana dianggap sebagai ‘warna awam’.

Yalah, bila suatu warna itu terlalu ramai yang pakai, tidak salah juga kalau ada yang mengatakan warna tersebut warna awam sekali gus meletakkan warna-warna lain lebih eksklusif dan ‘mahal’. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN