TEMERLOH – Temerloh yang sememangnya menjadi lokasi popular bagi penggemar ikan patin kini berdepan isu baharu apabila ada pihak lain dikatakan telah membawa ikan jenis itu dari luar daerah sebelum diklon dan dijual sebagai ikan patin Temerloh.
Tindakan tersebut secara tidak langsung telah menjejaskan kelazatan dan keaslian ikan patin Temerloh yang biasanya hanya diperoleh dari sungai dan sangkar di Sungai Pahang.
Ia berbeza dengan ikan patin dari luar Temerloh terutama yang diternak di kolam kerana didakwa berbau lumpur.
Keadaan itu menyebabkan ada penggemar tegar patin Temerloh telah mula mempersoalkan perbezaan dari segi rasa dan keaslian hidangan ikan patin yang disajikan.
Sumber memaklumkan, selain dijual untuk pasaran Temerloh, patin luar seperti yang dipelihara di kolam juga dibawa ke daerah ini untuk ditransitkan bagi mendapatkan ‘status’ sebagai patin Temerloh.
“Ada juga yang bawa patin kolam dari Selangor dan letak di sangkar Sungai Pahang dalam tempoh tertentu sebelum dihantar semula ke Selangor dengan nama patin Temerloh.
“Mungkin dengan cara ini, ikan patin berkenaan akan laku dan boleh dijual pada harga yang lebih tinggi kerana statusnya sebagai ikan patin Temerloh,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Katanya, bekalan patin Temerloh sememangnya tidak mencukupi memandangkan permintaan yang amat tinggi dan boleh dikatakan hanya mampu menampung permintaan di Temerloh dan negeri Pahang sahaja.
Jelasnya, harga runcit bagi patin sangkar Temerloh pada masa ini adalah antara RM22 hingga RM25 sekilogram.
Dalam pada itu Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd. Nor berkata, masalah kekurangan bekalan ikan patin Temerloh berbanding permintaan yang meningkat selain kos makanan ikan yang tinggi dipercayai menjadi sebab kepada kemasukan patin luar ke daerah tersebut.
Bagaimanapun katanya, tiada undang-undang yang boleh menghalang peniaga restoran atau penjual ikan untuk membeli atau menjual ikan patin luar kerana ia adalah lumrah dalam perniagaan.
“Saya juga ada dengar isu ini, tetapi kemungkinan betul sebabnya patin Temerloh sikit dan tidak cukup penuhi permintaan. Sebab itu ada yang ambil dari luar seperti dari Perak.
“Dengar macam itu tetapi sejauh mana, siapa, restoran mana, siapa yang terlibat kita tak tahu. Kita hanya tahu secara umum dan tidak ada kuasa untuk halang,” katanya.
Tambahnya, dia turut dikhabarkan bahawa ada ikan patin yang dipelihara di kolam dan dibawa ke Temerloh sebelum diletakkan di sangkar ikan di Sungai Pahang bagi menghilangkan bau hanyir dan lumpur.
Katanya, ikan-ikan ini diletakkan dalam tempoh tertentu di dalam sangkar untuk menghilangkan baunya sebelum dijual semula di luar Temerloh.
Penggemar ikan patin, Salehudin Mohamad, 60, berkata, dia yang sentiasa menikmati patin tempoyak di Temerloh telah beberapa kali merasa kelainan ikan yang dimakan kerana berasa berbau ‘lumpur’.
Susulan itu, dia berharap peniaga kedai makan dapat memastikan ikan yang dimasak adalah patin Temerloh bagi memastikan kepuasan pelanggan khususnya pelanggan setia.
“Mungkin peniaga tidak tahu bekalan ikan dihantar pembekal adalah patin luar, jadi mereka harus memastikannya.
“Mereka juga perlu memaklumkan kepada pengguna dan ikan berkenaan juga perlu dijual dengan harga yang jauh lebih murah,” katanya.
















