fbpx
Disamping sediakan juadah berbuka yang sedap, tempat wuduk juga perlu selesa.

Bufet Ramadan mahal, tapi solat di parkir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pastinya lebuh raya utama ke Utara, Selatan dan Pantai Timur kembali sesak hujung minggu depan kerana ramai warga kota pulang ke kampung untuk menyambut puasa bersama keluarga.

Berkesempatan berkumpul bersama saudara mara dan adik-beradik untuk bersahur apatah lagi masak bersama untuk berbuka puasa kemudian ke masjid menunaikan solat terawih di kampung adalah satu momen bahagia yang dimanfaatkan.

Jangan lepaskan peluang, pulanglah warga kota ke kampung halaman Sabtu depan untuk menyambut bulan Ramadan yang mulia bersama orang tersayang, tidak kira bajet kecil atau cukup cukup makan sahaja, ini adalah saat bahagia yang tidak boleh anda lepaskan kerana masa tersebut tidak boleh diputar kembali.

Ramadan adalah bulan terbaik untuk semua peniaga tidak kira yang bersaiz mikro hinggalah kepada syarikat berjenama besar serta juga bagi peniaga yang terlibat dengan tawaran bufet Ramadan di pengusaha restoran, dewan acara hinggalah kepada hotel bertaraf tiga hingga lima bintang.

Pastinya harga tawaran bufet menjadi isu utama dalam keadaan ekonomi sekarang dan bagi yang berbajet kecil, pastinya misi berbuka puasa boleh direalisasikan dengan berkunjung ke restoran atau dewan acara yang menawarkan promosi bufet Ramadan pada harga berpatutan.

Bagaimanapun, ada sesetengah pengusaha di restoran (bukan di dalam pusat beli-belah) tidak mengambil berat tentang penyediaan kemudahan surau yang membolehkan pengunjung menunaikan solat Maghrib khususnya selepas berbuka puasa di situ.

Tolong jangan ambil mudah perkara tersebut dengan hanya menyediakan kemudahan surau seperti ‘asal ada’ dan lebih tragis jika ada yang meletakkan surau di ruang belakang dengan kemudahan tandas, malah tiada paip air disediakan untuk mengambil wuduk.

Masih ada juga surau (yang selesa) di hotel-hotel utama di ibu kota bertempat di aras parkir bangunan tersebut.

Pengusaha juga perlu pastikan kemudahan surau itu lengkap dengan ruang wuduk yang bersesuaian, kiblat tidak menghadap pintu masuk dan juga lebih penting, ia juga mesra wanita.

Jangan biarkan kaum wanita keluar dari surau yang disediakan secara ala kadar itu dan terpaksa memakai selipar yang cuma ada sepasang dua sahaja untuk berjalan ke ruang wuduk yang disediakan di dalam tandas.

Lebih menyakitkan hati, apabila pelanggan wanita ini terpaksa berjalan di kawasan khalayak berlalu lalang dengan keadaan separuh basah tudungnya.

Kesulitan tersebut akan menjadi satu isu besar jika ada pelanggan yang membawa warga emas atau berkerusi roda untuk berwuduk dan bersolat.

Nampak remeh perkara tersebut tetapi sedikit sebanyak ia adalah salah satu unsur keberkatan rezeki yang pengusaha itu boleh manfaatkan di dalam bulan puasa ini.

Ada masa lagi untuk mana-mana pengusaha membuat pengubahsuaian atau penambahbaikan agar kemudahan ruang solat yang disediakan di situ mesra pelanggan untuk beribadat dan bukan hanya mengira keuntungan atas jualan menu bufet Ramadan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN