Pada ketika ini, jenayah buli termasuk di tempat kerja masih membelenggu masyarakat kita.
Si pembuli tidak kira tua atau muda tanpa rasa simpati menggunakan pelbagai cara untuk menakutkan, mengganggu, menghina dan menyakitkan mangsanya.
Buli di tempat kerja boleh menyebabkan mangsa mengalami tekanan mental yang serius sehingga memberi impak pada diri dan masa depannya.
Konsultan Bebas Psikologi Organisasi, Dr. Alizi Alias berkata, kesan daripada kejadian itu mangsa buli boleh mengalami kemurungan, kebimbangan, tekanan post-traumatik (PTSD), gangguan tidur dan keyakinan diri menurun.
“Mangsa juga berisiko mengalami masalah kesihatan fizikal seperti sakit tengkuk, musculoskeletal, kesakitan akut, fibromyalgia, dan jantung, ditambah pula dengan risiko kewangan seperti ketidakhadiran, berhenti kerja dan diberhentikan kerja.
“Dalam jangka panjang, ini boleh memberi kesan negatif kepada kesejahteraan psikologi, hubungan sosial, dan prestasi kerja mangsa,” katanya kepada Kosmo! di sini.
Mengulas lanjut katanya, buli di tempat kerja merupakan satu kesalahan jenayah dan pembulinya patut menerima hukuman setimpal sebagai pengajaran.
“Pihak majikan juga boleh dikenakan tindakan sewajarnya jika didapati mewujudkan persekitaran kerja tidak selamat dan tidak bebas hingga menggalakkan perbuatan buli.
“Akta Kerja 1955 [Akta 265], Akta Perhubungan Perusahaan 1967 [Akta 177], dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514] boleh dirujuk,” ujarnya.
Tambahnya, mereka yang dibuli perlu melaporkan kepada Jabatan Sumber Manusia dan pihak berkuasa jika buli melibatkan ancaman fizikal, seksual, atau jenayah.
“Mediasi atau siasatan dalaman (domestic inquiry) patut dilakukan. Majikan perlu mengadakan siasatan bebas dan mengambil tindakan seperti amaran, kaunseling, atau pemecatan, bergantung kepada kesalahan pembuli.
“Mangsa juga boleh mendapatkan nasihat undang-undang atau bantuan dari agensi seperti Jabatan Tenaga Kerja (JTK) jika merasakan majikan turut menyumbang kepada berlakunya perlakuan buli oleh pekerja,” katanya.
Jelasnya, tidak wajar sama sekali budaya buli ini dibiarkan berterusan dan harus dianggap sebagai budaya lapuk dan zalim yang berdosa.
“Kerajaan perlu memperketat undang-undang yang berkaitan dengan buli di tempat kerja. Ini termasuklah penggubalan undang-undang khusus mengenai buli di tempat kerja seperti Akta
Gangguan Seksual 2022 (Akta 840), mewujudkan prosedur laporan yang lebih mudah dan selamat untuk mangsa sama,” tambahnya.
Justeru, bagi padangan penulis, bukan sahaja pembuli malah selayaknya pihak majikan juga harus dikenakan tindakan yang sewajarnya demi memastikan mangsa buli mendapat keadilan yang sewajarnya.
Kesihatan mental penting dijaga untuk kita menikmati kehidupan yang lebih selesa dan sihat.














