SHAH ALAM – Penjenayah digelar Ah Boy yang ditembak mati di Pulau Ketam, Klang kelmarin dianggap berbahaya kerana sentiasa membawa senjata api ketika bergerak ke mana-mana lokasi.
Lelaki berusia 35 tahun dan berasal di Klang itu dipercayai terbabit dalam kegiatan jenayah samun seawal usia 24 tahun.
Di awal pembabitannya pada 2014, suspek melakukan samun secara berkumpulan, namun bergerak solo pada tahun lalu.
Walaupun pernah dimasukkan ke penjara sebanyak dua kali, namun Ah Boy yang sudah berkahwin tidak pernah serik melakukan jenayah.
Malah selepas melakukan tembakan rambang sehingga mencederakan seorang tukang cuci di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam pada 8 Februari lalu, Ah Boy sempat melakukan kes pecah rumah, ugutan jenayah dan mencuri motosikal sepanjang 10 hari dalam buruan polis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, modus operandi suspek mudah iaitu hanya menunjukkan pistol yang dibawa ke mana-mana sahaja lelaki itu pergi untuk menakutkan orang ramai.
“Suspek mengancam menggunakan pistol bagi memudahkan dia bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain.
“Ini terbukti apabila sepanjang melarikan diri (dalam buruan selama 10 hari) dia mengugut pemandu e-hailing, pemandu lori dan orang awam serta mencuri motosikal dengan hanya menunjukkan pistol.
“Suspek tidak mempunyai pengangkutan untuk bergerak. Dia bergerak dengan hanya membawa senjata api,” katanya.

Semakan mendapati, suspek mempunyai sembilan rekod kes samun dan pengedaran dadah selain berada dalam senarai dikehendaki.
Sepanjang dalam buruan, suspek melakukan lima kes jenayah yang dilaporkan di Melaka, Banting dan Sabak Bernam di Selangor.
Ini menjadikan suspek terbabit dalam 15 kes termasuk samun kedai emas di Kajang dan Klang serta beberapa lokasi lagi sejak pertengahan tahun lepas.
Polis tidak menolak kemungkinan suspek menjadikan Pulau Ketam sebagai lokasi transit sebelum melarikan ke luar negara.
Semasa pendaftaran masuk, pekerja hotel tidak mengetahui Ah Boy merupakan penjenayah yang diburu polis berhubung kes tembak di Setia Alam.
Hussein berkata, ketika serbuan lelaki itu dipercayai baru menginap di hotel tersebut selama semalaman. Turut dijumpai dua pucuk pistol berserta peluru.
“Siasatan masih dilakukan sama ada suspek memperoleh senjata itu dari negara jiran atau dibeli di pasaran gelap.
“Siasatan turut dijalankan sama ada lelaki itu terlibat dalam kegiatan kongsi gelap,” katanya.
Hussein menegaskan, orang ramai tidak perlu bimbang berikutan suspek berbahaya tersebut sudah tersungkur seterusnya polis dapat menyelesaikan 15 kes samun yang dilakukan lelaki terbabit.
“Apa yang saya boleh katakan lelaki berbahaya yang bergerak dengan senjata api ini berjaya ditumpaskan.
“Jadi, orang ramai tidak perlu risau akan kelibat suspek yang berkeliaran membawa senjata api dan melakukan kes ugutan dan samun ke atas orang awam,” kata beliau.















