SECARA tradisional, kawalan trafik udara dipantau menerusi menara yang terletak di lapangan terbang, sekali gus menjadi simbol kepada kemudahan tersebut.
Keperluan kepada kawalan udara yang efisien amat penting bagi memastikan keselamatan, kelancaran dan kecekapan operasi penerbangan.
Di Malaysia, kawalan trafik udara dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia atau Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM).
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) CAAM, Zainul Abidin Maslan, secara keseluruhan, CAAM merupakan badan yang mengawal selia semua aspek penerbangan awam di Malaysia termasuk keselamatan operasi, kawalan trafik udara, pensijilan pesawat dan penguatkuasaan peraturan penerbangan.
“CAAM ditubuhkan pada 2018 bagi menggantikan Jabatan Penerbangan Awam (DCA), sebagai badan berkanun.
“Kami bertanggungjawab mengeluarkan lesen kepada juruterbang, jurutera dan Air Traffic Controller (ATC).
“Kami juga perlu memastikan lapangan terbang dan pesawat memenuhi keperluan keselamatan, selain mengawal selia navigasi udara serta menyokong pembangunan industri penerbangan di dalam Malaysia,” katanya ketika ditemu bual K-Tekno di ibu pejabat CAAM, Putrajaya baru-baru ini.
Tambahnya, meskipun CAAM bertanggungjawab dalam pelbagai aspek melibatkan penerbangan awam di Malaysia, namun pihaknya sentiasa meneroka teknologi baharu berkaitan industri penerbangan.
Ujar Zainul Abidin, langkah itu bagi memastikan perkhidmatan CAAM dapat dilakukan secara efisien.
Kongsinya, setakat ini CAAM telah mengambil pelbagai langkah ke arah transformasi digital seperti memperkenalkan E-Licensing System dan Automatic Dependent Surveillance-Broadcast (ADS-B).
E-Licensing System merupakan satu sistem dalam talian yang dibangunkan bagi memudahkan permohonan lesen untuk juruterbang dan penerbangan awam.
“Manakala ADS-B pula merupakan pengaplikasian teknologi baharu dalam kawalan trafik pesawat di udara.
“ADS-B merupakan satu teknologi baharu yang membolehkan pemantauan pesawat dibuat secara live (siaran langsung),” katanya.
Sistem ADS-B yang diperkenalkan boleh mengesan dan menyiarkan maklumat seperti kedudukan, ketinggian dan kelajuan pesawat kepada stesen di darat serta pesawat lain.
Teknologi tersebut berbeza dengan sistem radar tradisional yang bergantung kepada gelombang (wave) untuk mengesan pesawat.
Hal ini kerana ADS-B menggunakan data sistem kedudukan sejagat (GPS), sekali gus menjadikannya lebih tepat.
Ujar Zainul Abidin lagi, teknologi itu berfungsi secara automatik tanpa memerlukan input manual daripada juruterbang.
Selain E-Licensing System dan ADS-B, pada tahun ini, CAAM juga mengorak langkah dengan meneroka teknologi baharu iaitu Unmanned Aircraft System Traffic Management System (UAS TMS) dan Remote Digital Virtual Tower (RDVT).

Jelasnya, UAS TMS adalah sistem yang direka untuk mengurus dan mengawal pesawat tanpa pemandu seperti dron di ruang udara rendah.
Sistem terse but dapat membantu memastikan operasi dron dijalankan dengan selamat serta efisien tanpa mengganggu pesawat biasa.
RDVT pula merupakan konsep baharu dalam pengurusan trafik udara yang bakal menggantikan kaedah tradisional iaitu pemantauan menerusi menara kawalan.
“RDVT ialah sistem kawalan trafik udara canggih bagi menggantikan menara kawalan fizikal. Ia dilengkapi teknologi digital dan sistem kamera beresolusi tinggi.
“Dengan RDVT, operasi kawalan trafik udara boleh dijalankan dari jarak jauh menggunakan live video terus dari lapangan terbang.
“Sistem ini turut dilengkapi dengan teknologi tambahan seperti sensor, data radar dan augmented reality (AR),” hurainya.
Berkongsi lanjut tentang RDVT, Zainul Abidin berkongsi, sistem itu sudah menjadi trend dalam sektor penerbangan terutamanya di negara maju seperti Sweden dan Jerman.
Di peringkat global, RDVT sudah terbukti berkesan terutamanya untuk lapangan terbang kecil atau terpencil, di mana ia memudahkan pengurusan penerbangan dengan kos rendah tanpa memerlukan menara kawalan fizikal.
Bagi lapangan terbang berkapasiti tinggi pula, RDVT telah diguna pakai di negara seperti Jerman untuk meningkatkan kecekapan kawalan dengan sokongan teknologi seperti AR dan Live Data.
Di Malaysia, RDVT sedang dalam pelaksanaan dan akan diperkenalkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang tidak lama lagi.
RDVT dilihat sebagai sebuah sistem yang mempunyai pelbagai kelebihan seperti mengurangkan kos operasi kerana menara fizikal tidak diperlukan di setiap lokasi.
Pengaplikasian sistem itu juga fleksibel kerana pengurusan kawalan trafik udara dari satu pusat dan peningkatan kecekapan.
Kongsi Zainul Abidin, dalam pengaplikasian sistem itu, terdapat beberapa kekurangan yang dikenal pasti, namun ia lebih kepada fasa peralihan pelaksanaannya.
“Antara kekurangan yang kami lihat adalah pengawal trafik udara perlu menjalani latihan khas untuk menyesuaikan diri dengan teknologi baharu ini.
“Latihan khas ini mungkin mengambil masa dan memerlukan pelaburan dalam pembangunan kemahiran.
“Pada masa sama, tidak semua pihak dalam industri penerbangan bersedia untuk beralih kepada teknologi ini kerana ia ia belum dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.
Dalam kepelbagaian teknologi baharu yang diterokai oleh CAAM, badan tersebut turut mengintai ruang untuk menambah baik perkhidmatan dengan meneroka penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan ruang udara.
AI dilihat sebagai satu teknologi yang membolehkan data trafik udara dianalisis secara masa sebenar (real-time), sekali gus membantu membuat keputusan (decision-making) secara automatik.
“Teknologi ini dapat membantu kami memantau dan mengurus ruang udara secara lebih efisien.
“Contohnya dengan Live Data, kami boleh mengelakkan kesesakan trafik udara, meningkatkan keselamatan dan mempercepatkan proses pengendalian penerbangan.
“Selain itu, teknologi seperti sistem e-Licensing membantu CAAM mempermudah dan mempercepatkan proses pelesenan dengan menyediakan platform dalam talian,” ujarnya.
Bagi perancangan lima tahun akan datang, Zainul Abidin memberitahu, CAAM akan memberi fokus pada teknologi seperti RDVT dan ADS-B untuk meningkatkan keselamatan serta kecekapan ruang udara.
Pihaknya juga akan memperluaskan sistem e-Licensing, memperkasakan latihan kakitangan dan mengukuhkan kerjasama antarabangsa.














