KEBIJAKSANAANYA menggarap dekorasi warna-warni menjadikan ia tidak kelihatan berserabut.

Modern eclectic, pop art serikan kediaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WARNA sememangnya mempunyai pengaruh yang besar dalam dekorasi sesebuah kediaman. Penggunaan warna yang terang dan ceria misalnya, boleh mengubah ruang yang suram tampil bermaya.

Minat terhadap barangan pelbagai warna mendorong seorang wanita yang berasal dari Shah Alam, Selangor untuk menghias rumahnya dengan pelbagai warna menarik.

Hasilnya, kediaman milik Wan Nur Iffah Nadiah Wan Hishamuddin, 27, tampil lain daripada yang lain dan cukup memikat menerusi padanan pelbagai warna.

Berkongsi dengan CitaRasa, wanita yang mesra disapa Nadiah itu memberitahu, dia membeli rumah flat yang terletak di Seksyen 8, Shah Alam itu pada Julai tahun lalu dan terus menghiasnya mengikut cita rasa.

“Konsep pilihan saya adalah modern eclectic dan pop art yang mana kediaman saya dipenuhi dengan perabot dan perhiasan berwarna-warni, namun diseimbangkan dengan dinding berwarna putih polos.

“Ini kerana saya sememangnya amat menyukai tema warna-warni, bahkan apabila membeli apa sahaja barangan, saya akan memilih jenis berwarna-warni,” katanya membuka bicara.

WARNA kuning yang terang menghiasi kamar dalam rumah ini yang turut menggunakan hiasan warna sama.

Elemen warna-warni boleh dilihat menerusi pelbagai barangan dalam kediaman seperti kerusi lepak di ruang tamu, kusyen, cadar dan juga barangan perhiasan seperti lampu dan hiasan dinding.

Saat kaki melangkah masuk ke dalam kediaman seluas 55.2 meter persegi itu, sukar untuk tidak terpesona melihat dekorasi unik yang ditampilkan Nadiah.

Biarpun berwarna-warni, hiasan dalam kediaman jenis flat dua bilik dengan satu bilik air itu tidak sedikit pun nampak serabut, memandangkan Nadiah cukup bijak menyuaipadankan warna pilihan pada dekorasi kediaman secara keseluruhan.

Kongsi Nadiah, dia banyak mendapat inspirasi dalam menghias rumah daripada aplikasi Pinterest dan akaun-akaun Instagram yang diikuti.

“Selain itu, saya juga suka berkunjung ke showroom atau bilik pameran IKEA bagi mendapatkan idea atau inspirasi untuk diterapkan pada kediaman,” katanya.

Berkongsi tentang ruangan paling disukainya pada kediaman itu, Nadiah memberitahu dia sukakan ruangan dapur dan bilik air kerana baginya, kedua-dua ruangan tersebut amat berbeza jika dibandingkan dengan keadaan asalnya.

HIASAN dalam kediaman jenis flat ini dipenuhi dengan perabot dan barangan berwarna-warni.

“Kediaman ini merupakan sebuah kediaman lama, namun saya membelinya kerana sukakan lokasi ini yang bagi saya strategik kerana berdekatan dengan pelbagai kemudahan.

“Bahkan, kawasan ini juga berbeza daripada kawasan flat yang lain kerana selain tidak bising, persekitarannya juga terjaga.

“Namun, memandangkan ini merupakan unit lama, saya terpaksa melakukan pengubahsuaian total terhadap bilik air dan dapur.

“Sejujurnya, kebanyakan kos dekorasi kediaman adalah membabitkan dua ruang itu,” kongsi Nadiah yang membelanjakan sekitar RM20,000 untuk mengubah suai rumah tersebut.

Nadiah juga memberitahu banyak membeli barangan perhiasan terpakai untuk kediaman itu, memandangkan dia tahu dan suka memburu barangan sedemikian untuk menyerlahkan lagi elemen eclectic yang diterjemah.

Akui pekerja swasta itu lagi, setakat ini dia berpuas hati dengan kediaman itu, namun berhasrat untuk menambah pintu lipat atau folding door di bahagian dapur rumah bagi menambah baik 

pengudaraan di ruang kediaman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN