fbpx
IBU BAPA berhabis ribuan ringgit untuk keperluan sekolah anak-anak. – GAMBAR HIASAN

RM6,000 persiapan sekolah, hari raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Golongan ibu bapa yang mempunyai anak sekurang-kurangnya tiga orang memerlukan perbelanjaan hampir RM6,000 bagi melengkapkan keperluan persekolahan sesi 2025/2026 dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Rata-rata mereka memaklumkan perlu mengeluarkan belanja yang besar selain mengakui bulan Februari dan Mac sebagai ‘bulan’ mencabar bagi memastikan dua perkara penting itu berjalan dengan sempurna.

Menurut seorang bapa dikenali sebagai Wan, 40, dia dan isterinya memperuntukkan lebih RM6,000 bagi persiapan persekolahan selain kelengkapan hari raya untuk empat anaknya.

Katanya, dia membelanjakan hampir RM2,000 untuk pakaian seragam sekolah termasuk kasut, buku dan alat tulis untuk tiga anaknya bagi sesi persekolahan kebangsaan.

“Jumlah itu tidak termasuk kelengkapan untuk sekolah agama dua anak. Saya mencari kelengkapan yang berkualiti kerana lebih tahan sepanjang sesi persekolahan walaupun terpaksa keluarkan belanja lebih pada permulaan,” katanya kepada Kosmo!.

Bercerita lanjut, dia juga perlu membayar yuran tadika terma­suk pendaftaran untuk kemasukan sesi baru anak bongsunya berusia enam tahun mencecah RM2,000.

Bagi persiapan raya pula katanya, dia seisi keluarga telah membelanjakan lebih RM1,500 untuk pakaian dan beberapa kelengkapan lain.

“Jika diikutkan banyak lagi barangan tidak dibeli tetapi untuk tahun ini kami beraya ala kadar sahaja. Hasrat untuk pulang ke kampung menjenguk pusara ­ibu bapa semasa raya ­nanti juga mungkin ditangguhkan dahulu,” katanya.

RAYA bersederhana menjadi pilihan orang ramai pada tahun ini memandangkan terpaksa mendahulukan kelengkapan sekolah.
– GAMBAR HIASAN

Turut berkongsi kisah sama seorang lagi ibu empat anak di Ampang, Selangor yang ingin dikenali sebagai Linda, 36, memaklumkan, dia membelanjakan RM2,500 ketika ini untuk persiapan sekolah tiga anaknya iaitu dua di sekolah rendah dan seorang di tadika swasta.

“Kos berkenaan termasuk pakaian seragam sekolah kebangsaan dan agama, dua pasang ka­sut sekolah dan kokurikulum, alat tulis serta yuran sekolah agama.

“Ini belum lagi yuran tadika anak ketiga saya hampir RM2,000 termasuk yuran bulanan Februari serta upah pengasuh bagi seorang lagi anak saya yang berusia 3 tahun. Jika tahun lepas upah pengasuh RM450, tahun ini sudah naik kepada RM650.

“Jadi persiapan raya kami sekeluarga tahun ini cuma ala kadar dan kami pun beraya di Kuala Lumpur sahaja,” kata kakitangan swasta di Cheras itu.

Sementara itu, penjawat awam, Norlie Kassim, 45, berkata, wang simpanannya bersama suami selama setahun hanya berbaki RM500 selepas selesai membeli barang keperluan persekolahan tiga anaknya.

“Kami suami isteri masing-masing simpan RM100 sebulan dan selama setahun kami dapat kumpul RM2,400 sepanjang 2024. Anak-anak dapat RM150 (Bantuan Awal Persekolahan), semua jumlah terkumpul RM2,850.

“Minggu lepas beli setiap anak dua pasang pakaian seragam sekolah, sepasang kasut sekolah dan beberapa keperluan lain dah habis hampir RM1,500. Sebelum cuti sekolah sudah selesai bayar duit buku, beli baju sukan sebab anak bongsu baru masuk tingkatan satu dan anak kedua ditawar jawatan pengawas, semua kena beli baru,” katanya.

Katanya, wang baki akan dimanfaatkan untuk membeli ­keperluan raya ditambah ­dengan simpanan yang dibuat dalam tempoh tiga bulan bermula Januari lalu.

“Raya kali ini lebih bersederhana. Cukup seorang sepasang. Syukur sempat buat simpanan sedikit untuk tampung kos-kos yang ada. Memang terasa bila buka sekolah, puasa, raya bersambung-sambung di awal tahun ini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN