SEMAKIN ramai golongan muda termasuk selebriti dan pempengaruh menunaikan umrah serta melakukan ziarah di Mekah dan Madinah saban tahun.
Bagi yang pertama kali bertamu di Tanah Suci, sudah pasti ia menjadi satu kenangan terindah dalam hidup mereka.
Umrah yang mabrur menjadi dambaan dengan setiap detik di sana dipenuhi dengan ibadah bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Setiap yang pulang pasti merindui untuk kembali ke sana.
Namun begitu, dalam keterujaan orang muda mengerjakan umrah, niat perlu dipasakkan hanya kerana Allah, bukan sekadar ikut-ikutan mahupun untuk content.
Menurut mutawif, Muhamad Zaki Ridzuan, terdapat segelintir jemaah yang mengambil kesempatan membuat kandungan di hadapan Kaabah untuk kepentingan diri dan perniagaannya.
“Bila datang ke Mekah ini, alhamdulillah bagus tetapi kalau datang semata-mata nak buat content, itu tidak bagus. Sampai depan Kaabah nak buat content jual produk, bukan tempatnya.
“Jaga adab dan elak perbuatan terkinja-kinja. Kita buat apa yang agama suruh dan jangan melampau,” katanya.
Dia menasihatkan jemaah supaya mengerjakan ibadah dengan sebaiknya bagi mendapatkan umrah dan haji yang mabrur.
Sementara itu, Muhamad Zaki mengakui semakin ramai orang muda termasuk pasangan yang baru berkahwin menunaikan umrah serta melakukan ziarah di Mekah dan Madinah.
Katanya, sebahagian daripada mereka menggunakan wang simpanan sendiri untuk menunaikan umrah, selain hadiah perkahwinan.
Tambahnya, orang muda yang mempunyai keupayaan dari segi tenaga dan kewangan digalakkan mengerjakan umrah dengan seberapa segera.
“Pengalaman membawa seramai 65 anak muda jati Kelantan menunaikan umrah secara percuma yang ditaja sepenuhnya oleh Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. baru-baru ini sukar saya lupakan kerana bagi saya, ia sangat luar biasa.
“Mereka bukan anak muda yang ‘kosong’ tetapi sangat bersemangat dan bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah,” katanya.
Sementara itu, seorang arkitek, Nik Amir Khairi Kamarubalkiah, 29, berkata, dia bersyukur kerana dapat menunaikan umrah pada usia muda bersama rakan-rakannya menerusi program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan itu.
“Saya gunakan peluang ini untuk menunaikan umrah dengan sebaik-baiknya.
“Semoga ibadah ini menjadikan diri saya lebih dekat dengan Allah SWT dan terus melaksanakan solat berjemaah di masjid,” katanya yang turut menggalakkan orang ramai mengerjakan umrah
pada usia muda kerana ibadah itu turut memerlukan keupayaan tenaga dan tahap kesihatan yang baik.














