KLANG – Satu sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) mampu mengaut keuntungan hampir RM200,000 sebulan bagi membawa masuk dan keluar migran dari negara jiran sejak tujuh tahun lalu.
Kumpulan itu didalangi rakyat asing yang sudah lama menetapkan di Selangor dan bersekongkol dengan sindiket di Indonesia.
Mendedahkan perkara itu, Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, sindiket mengenakan bayaran RM1,500 hingga RM2,000 seorang untuk keluar dan masuk secara haram melalui perairan negeri ini.
Katanya, pakej harga tersebut termasuklah kos pengangkutan darat, makanan dan bayaran rumah transit.
“Sindiket ini dipercayai didalangi warga Indonesia yang sudah lama menetap di Selangor. Kita percaya mereka beroperasi sejak tahun 2018 dan dipercayai semakin aktif pada 2022 sehingga kini,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Beliau memberitahu, kebiasaannya kumpulan penyeludup migran tersebut akan membuat promosi melalui media sosial seperti Facebook dan TikTok.
Sindiket itu menggunakan perkataan promosi ‘Jalur Belakang’ atau laluan haram khusus untuk warga asing yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah atau ‘kosong’.
“Modus operandi penyeludup berbeza mengikut kawasan. Kebanyakan lokasi di sekitar Tanjung Rhu, Pulau Carey hingga Sepang. Ini kerana sindiket menggunakan bot pancung untuk merentas sempadan,” katanya.
Jelas beliau, sindiket penyeludupan PATI itu membawa masuk rakyat Indonesia, Myanmar atau Bangladesh dari Rupat, Indonesia. Muatan bot bagi satu perjalanan adalah 20 hingga 30 PATI.
“Bagi memudahkan urusan, sindiket tempatan akan digunakan untuk menjaga laluan tikus di darat selain menjadi tonto laut,” ujarnya.
Beliau memberitahu, jarak sempadan perairan terdekat adalah 10 batu nautika yang mengambil masa 20 minit dengan kelajuan bot 30 hingga 45 knot. Bagi jarak daratan terhampir pula kira-kira 30 batu nautika dengan sejam perjalanan.
“Dianggarkan terdapat tiga cubaan keluar masuk PATI dalam sebulan melalui perairan Selangor. Kekerapan aktiviti ini bergantung ikut keadaan dan musim perayaan,” katanya.
“PATI akan berjalan kaki meredah kawasan perairan cetek selepas turun dari bot pancung atau fiber melalui kawasan paya bakau, ladang kelapa sawit dan hutan belukar.
“Mereka kemudiannya akan menunggu sindiket di lokasi yang ditetapkan,” katanya.
Abdul Muhaimin menegaskan penguatkuasan berterusan yang dilakukan pihaknya berjaya menyekat penyeludupan migran.
Ini terbukti apabila sebanyak 27 buah bot PATI berjaya dihalang di perairan Selangor sepanjang tahun lalu.
“Kita berjaya menangkap 97 PATI pada 2024 terdiri daripada 89 warga Indonesia dan lapan etnik Rohingya,” katanya.















