PORT DICKSON – Isu khemah di pantai peranginan di sini, belum berkesudahan selepas peniaga dan orang awam bimbang dengan gerakan boikot apabila netizen mewujudkan #boikotPD.
Rata-rata peniaga dan orang awam berharap agar larangan pemasangan 13 jenis khemah, kanopi serta payung pantai oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dapat dilonggarkan.
Seorang peniaga payung pantai, Mohd. Fadly Mohd. Nasir, 40, berkata, larangan itu menyebabkan pengunjung terutamanya orang luar tidak mahu ke situ.
“Ini benar-benar jejaskan peniaga. Macam saya, selain payung pantai, saya turut jalankan perniagaan sukan air seperti bot, jet ski. Semasa khemah biru serta pengunjung ramai, saya boleh dapat sehingga RM800 sehari.
“Kini nak dapat RM20 pun ‘bercinta’ kerana tiada siapa mahu beriadah di kawasan pantai lebih-lebih lagi pada waktu panas tanpa payung atau khemah.
“Malah, pekerja saya yang dulunya sembilan orang kini tinggal dua kerana saya tak mampu bayar gaji susulan tiada pengunjung.
“Jika dahulu musim cuti sekolah, pengunjung hampir setiap hari memenuhi pantai hingga cecah puluhan ribu, kini sepi,” katanya ketika ditemui di Pantai Telok Kemang, di sini semalam.
Seorang lagi peniaga, K. Jivannthan, 55, berkata, dia bersyukur isu khemah biru selesai apabila peniaga diberi payung pantai, namun bila khemah tidak dapat dipasang ramai juga tak jadi berkelah di sini.
Ujar seorang pengunjung, Zulkifli Abu, 48, dari Selangor, larangan itu sewajarnya dilonggarkan buat pengunjung.
“Ada masa terlalu panas dan hujan, jadi khemah amat penting buat pengunjung berlindung sambil riadah,” katanya.













