Pada 29 Disember lalu, seramai 179 penumpang yang menaiki penerbangan tambang murah Jeju Air terbunuh apabila pesawat itu terhempas semasa mendarat cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Korea Selatan.
Siasatan awal yang didedahkan akhir bulan lalu menyatakan, terdapat bulu-bulu burung dan tompokan darah pada dua enjin pesawat Boeing 737-800 tersebut.
Juruterbang telah diberi amaran tentang kawanan burung oleh menara kawalan udara, tetapi kemudian membuat laporan pelanggaran burung telah berlaku sebelum membuat isyarat kecemasan.
Pasukan penyiasat masih menyiasat punca nahas dengan menumpukan kepada ‘serangan’ burung, kegagalan gear pendaratan dan tembok batu yang dirempuh pesawat Jeju Air di lapangan terbang tersebut.
Sebuah lagi penerbangan tambang murah, Air Busan pula terbakar di Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae, Busan, Korea Selatan pada 28 Januari lalu, tetapi 176 orang berjaya turun dari pesawat Airbus A321 tersebut.
Punca nahas masih dalam siasatan walaupun media negara itu melaporkan bahawa alat ‘power bank’ yang diletakkan di tempat simpanan barang di atas tempat duduk penumpang sebagai punca pesawat terbakar.
Sehari kemudian, pada 29 Januari lalu, 64 orang terbunuh apabila sebuah pesawat penumpang milik American Airlines bertembung dengan helikopter tentera Amerika Syarikat (AS) dekat Lapangan Terbang Kebangsaan Reagan, Washington.
Tiga anggota tentera menaiki helikopter Black Hawk yang sedang dalam misi latihan turut terkorban.
Punca nahas belum diketahui, tetapi pakar-pakar penerbangan berkata bahawa pelbagai faktor termasuk teknologi dan kesilapan manusia mungkin menjadi punca nahas antara yang terburuk di AS itu.
Kesan tiga nahas itu kini ialah semakin ramai pengembara udara termasuk pelancong di Korea Selatan dan Amerika berasa bimbang untuk menaiki pesawat.
Persoalannya sekarang adakah industri pesawat penumpang tidak terjejas dek kerana tiga nahas itu berlaku dalam tempoh tidak sampai dua bulan?
Selepas nahas terbaharu itu berlaku, Klinik Cleveland di AS mendedahkan bahawa lebih 25 juta golongan dewasa mengalami fobia untuk terbang.
Di Korea Selatan, semakin ramai rakyatnya menyatakan, mereka bimbang untuk pergi melancong kerana nahas pesawat semakin kerap berlaku.
Persoalan juga timbul adakah pesawat penumpang masih merupakan pengangkutan paling selamat di dunia?
Ini kerana pada tahun lalu sahaja, seramai 318 orang maut dalam nahas pesawat komersial berdasarkan angka yang dikeluarkan oleh Aviation Safety Network.
Ia merupakan jumlah kematian paling buruk sejak 2018 dan adakah tahun ini satu ‘rekod’ baharu akan tercipta?














